Red Bull kejutkan dunia F1

Red Bull kejutkan dunia F1

MONACO, 27 Mei – Pemandu Pasukan Mercedes, Nico Rosberg dan Lewis Hamilton berkata bahawa mereka terkejut dengan kepantasan luar biasa yang dicatat oleh pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo dalam sesi latihan menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Monaco hujung minggu ini.

Pemandu Australia itu merekodkan masa terpantas, 0.6 saat di depan juara dunia tiga kali, Hamilton dari Britain, dengan Rosberg berada di tempat ketiga, diikuti pemandu remaja dari Belanda, Max Verstappen. “Ia sudah pasti mengejutkan bagaimana mereka begitu pantas,” kata Rosberg.

“Kami menjangkakan mereka berada di situ atau lebih kurang sebegitu tetapi tidaklah sepantas itu. Ada beberapa perkara yang kami perlu kaji,” kata Hamilton.

“Saya tidak rasa saya melakukan catatan masa yang baik, jadi masih ada masa buat saya – bukanlah dengan 0.6 saat tetapi masih masa. Mereka memberi ancaman besar kepada kami – mereka sangat, sangat pantas.

“Saya tidak terkejut kerana kuasa jentera tidak banyak bezanya di sini dan saya selalu tahu mereka mempunyai kereta yang bagus.

Jentera Daniel Ricciardo dari Pasukan Red Bull yang mencatatkan masa terpantas dalam sesi latihan menjelang GP Monaco Ahad ini. – AP
Jentera Daniel Ricciardo dari Pasukan Red Bull yang mencatatkan masa terpantas dalam sesi latihan menjelang GP Monaco Ahad ini. – AP

“Adakah kami jangkakan mereka akan menjadi sepantas seperti itu pada hari ini? Mungkin tidak – mungkin lebih rapat.”

Rosberg menambah dia tidak merasakan mengubahsuai kuasa enjin untuk kelayakan adalah mencukupi bagi Mercedes untuk merapatkan jurang masa. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA