Red Bull masih belum ada enjin 2016

Red Bull masih belum ada enjin 2016

BANDAR MEXICO, 4 Nov (Reuters) – Red Bull akan menampilkan barisan pelumba yang sama iaitu Daniel Ricciardo dari Australia dan Daniil Kvyat dari Rusia musim depan tetapi yang utama perlu mereka buat ialah mencari pembekal enjin, dan masalah itu terbukti sangat sukar untuk dilakukan.

“Kedua-dua pelumba itu masih dalam kontrak. Kontrak Ricciardo sudah ditetapkan dan me­ngenai Daniil Kvyat pula semua syarat memihak kepada kami,” kata pengetua pasukan Christian Horner kepada wartawan selepas Grand Prix Mexico.

“Dia (Kvyat) telah melaksanakan tugas dengan cemerlang. Jadi selagi kami terus di sini, dia akan memandu kereta kami tahun depan,” tambah Horner.

Katanya, dia ‘sangat yakin’ Red Bull akan berlumba tahun depan, tetapi kedua-dua pilihan dan masa semakin suntuk.

Mercedes telah menolak selepas Red Bull percaya mereka telah mendapat persetujuan untuk mendapat enjin dan telah menamatkan kerjasama dengan Renault setahun lebih awal.

Ferrari pula sedang berbincang dengan Toro Rosso tetapi berat hati untuk membekalkan enjin kepada pasukan utamanya Red Bull, sementara Honda, yang enjin mereka adalah yang paling perlahan musim ini, berminat untuk bekerjasama tetapi rakan mereka McLaren membantah dan memiliki kuasa veto.