Red Bulls belasah Blues

Red Bulls belasah Blues

NEW YORK, 23 Julai – Sean Davis menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua untuk membantu New York Red Bulls menewaskan juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Chelsea 4-2 dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa.

Red Bulls kelihatan amat kuat kepada Chelsea biarpun beraksi selepas tewas pada saingan suku akhir Piala Terbuka AS kepada Philadelphia Union.

Ketua Jurulatih New York, Jesse Marsch, membariskan pemain muda dan pertaruhan itu menjadi apabila Davis menjaringkan gol pada minit ke-73 dan ke-77.

Pemain berusia 16 tahun, Tyler Adams pula menemui gawang pada minit ke-70 selepas Franklin Castellanos membuka jaringan pada minit ke-51 untuk Red Bulls yang kali pertama beraksi menentang Chelsea.

Loic Remy meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-26 manakala Eden Hazard menambah jaringan pada minit ke-75.

Diego Costa (kanan) cuba menewaskan penjaga gol New York Red Bulls Santiago Castano dalam kejohanan Piala Juara-Juara Antarabangsa Red Bull Arena di Harrison, New Jersey semalam. – AFP
Diego Costa (kanan) cuba menewaskan penjaga gol New York Red Bulls Santiago Castano dalam kejohanan Piala Juara-Juara Antarabangsa Red Bull Arena di Harrison, New Jersey semalam. – AFP

Semalam, pengurus Chelsea Jose Mourinho tegas mengatakan bahawa juara Liga Perdana Inggeris itu tidak pernah merancang menambah kekuatan pasukan dan mendedahkan impiannya mempertahankan gelaran dengan barisan pemain sedia ada.

Selain pembelian penyerang Radamel Falcao dan perpindahan penjaga gol Petr Cech, Chelsea dilihat tidak aktif ketika tempoh perpindahan pemain musim panas berbanding Manchester United.

Dan walaupun Chelsea terus dikaitkan dengan perpindahan pertahanan England John Stones dari Everton, Mourinho tetap yakin bahawa tidak ada keperluan untuk kelabnya membelanjakan wang bagi membeli pemain.

Mourinho mengesahkan kelabnya bakal menjual pertahanan Filipe Luis dan berkemungkinan besar mencari pengganti. – AFP