Red Butterfly juarai Futsal MZ

Red Butterfly juarai Futsal MZ

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Red Butterfly mengungguli Kejohanan Futsal MZ 2016 dengan catatan kemenangan 100 peratus dari peringkat kumpulan sehingga final untuk meraih gelaran juara.

Pada perlawanan akhir kejohanan yang diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu, Red Butterfly berjaya menewaskan Osyeah FT dengan jaringan tipis 1-0.

Tempat ketiga pula menjadi milik Wondrus FT yang berjaya menundukkan Simunjing dengan jaringan 2-1 menerusi sepakan penalti penentuan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa sebenar perlawanan.

Red Butterfly berjaya mara ke final selepas mengalahkan Simunjing dengan jaringan 1-0, jaringan sama yang dicatatkan dalam satu lagi perlawanan separuh akhir antara Osyeah FT dengan Wondrus FT yang memihak Osyeah FT.

Selaku juara, Red Butterfly menerima hadiah wang tunai $400 dan piala juara, manakala Osyeah FT sebagai naib juara berpuas hati dengan hadiah wang tunai $200 dan piala naib juara.

Juara Futsal MZ 2016, Red Butterfly.
Juara Futsal MZ 2016, Red Butterfly.

Wondrus FT pula selaku pemenang tempat ketiga membawa pulang hadiah wang tunai $100 dan piala tempat ketiga.

Sejumlah 20 buah pasukan telah menyertai kejohanan berkenaan, yang telah dibahagikan kepada empat buah kumpulan dengan setiap kumpulan mengandungi lima buah pasukan. Hanya dua buah pasukan dari setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir. – Hasrulraizan