Red Devils cuba pancing Rodriguez

Red Devils cuba pancing Rodriguez

LONDON, 17 Nov (Agensi) – Manchester United dilaporkan telah mengadakan perbincangan bersama wakil pemain Real Madrid, James Rodriguez untuk membawa tonggak tengah itu ke Old Trafford.

Sebelum ini, United dilaporkan ingin mencipta sejarah dengan cubaan membawa pulang bekas penyerang mereka, Cristiano Ronaldo ke Old Trafford dari Santiago Bernabeu. Selain itu, United turut dikatakan sedang memancing seorang lagi tonggak penting Real Madrid dari Wales, Gareth Bale sebelum bercadang menyambar khidmat Rodriguez.

Beberapa akhbar di Sepanyol sebelum ini mendedahkan, pemain antarabangsa Colombia itu tidak gembira berada di Santiago Bernabeu kerana jarang diberi peranan besar sejak pasukan tersebut dibimbing jurulatih Rafa Benitez yang menggantikan Carlo Ancelotti.

Gambar fail bertarikh 12 November 2015 menunjukkan James Rodriguez bersaing dengan pemain Chile, Matias Fernandez pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 di Santiago, Chile. – Agensi
Gambar fail bertarikh 12 November 2015 menunjukkan James Rodriguez bersaing dengan pemain Chile, Matias Fernandez pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 di Santiago, Chile. – Agensi

Ejen Jorge Mendes yang menguruskan karier pemain berusia 24 tahun itu juga dikatakan telah menghubungi beberapa individu di Old Trafford untuk merealisasikan perpindahan Rodriguez.

Akhbar di London turut melaporkan usaha United yang kini sedang cuba memancing penyerang Leicester City, Jamie Vardy yang berada di puncak prestasi ketika ini selepas meledak 12 gol dalam kempen Liga Perdana England.

Vardy dilihat memiliki sentuhan terbaik sejak berada di bawah bimbingan Claudio Ranieri dan sehubungan itu United sudah menyediakan dana £15 juta (RM99.87 juta) untuk mendaratkan pemain itu di Old Trafford.