Redah cuaca beku ke sekolah

BEIJING, 12 Jan – Gambar tular seorang budak lelaki China dengan rambutnya mengeras seperti titisan air membeku selepas berjalan kaki sejam dalam suhu beku ke sekolah telah membangkitkan perdebatan tentang kesan kemiskinan kanak-kanak di kawasan luar bandar.

Wang Fuman, seorang pelajar sekolah rendah di wilayah barat daya Yunnan, mendapat jolokan ‘Budak Fros’ selepas pengetua sekolahnya berkongsi gambar dalam talian dengan pipinya yang merah dan rambut berais, media China melaporkan minggu ini.

Menurut agensi China News Service (CNS), guru yang mengambil foto itu berkata, Wang terpaksa berjalan lebih sejam dari rumahnya ke sekolah sejauh 4.5 kilometer (2.8 batu).

Suhu negatif 9 darjah Celcius (16 Fahrenheit) pada hari gambar itu diambil, CNS melaporkan. Foto-foto lain dalam talian menunjukkan tangan dan jari-jemari Wang yang membengkak diletakkan di atas kertas peperiksaan Matematik tertera dengan markah 99 peratus.

Pengurangan kemiskinan telah menjadi salah satu inisiatif Presiden Xi Jinping sejak memegang jawatan pada 2012. Xi yang menyeru untuk mewujudkan ‘masyarakat yang cukup makmur’ telah berikrar untuk menghapuskan kemiskinan luar bandar menjelang 2020.

ATAS & BAWAH: Wang Fuman yang dikenali sebagai ‘Budak Fros’ dirakam ketika berjalan di sebatang jalan semasa cuaca sejuk dan bersalji dekat kampungnya wilayah Yunan. – AFP

Statistik rasmi 2016 mencatatkan 43.3 juta penduduk pedalaman masih hidup di bawah garis kemiskinan dengan 2,300 yuan (AS$346) setahun di negara dengan 1.4 bilion penduduk itu.

Nasib ‘kanak-kanak yang ditinggalkan’ seperti Wang, yang mana ibu bapanya bekerja di bandar sementara mereka tinggal di kampung bersama saudara kandung, datuk atau nenek, telah menjadi perbincangan hangat pada tahun-tahun kebelakangan ini.

“Kita masih belum melakukan kerja yang cukup untuk membantu orang miskin,” kata seorang pengulas di platform Weibo seperti Twitter. Seorang pengguna lain berkata: “China mempunyai banyak kanak-kanak seperti ini.”

Beberapa pengguna media sosial juga menuduh media terlampau mengeksploitasi ‘Budak Fros’ dengan memaparkannya dalam laporan video yang keterlaluan.

Tetapi perhatian dalam talian terus menjana reaksi positif: Sehinggan Rabu, Beijing News mengumumkan pada akaun Weibonya bahawa pengguna Internet yang bersimpati telah menyumbangkan 100,000 yuan (AS$15,400) kepada sekolah Wang dan sekolah lain di kawasan itu. Setiap pelajar pula secara individu akan menerima 500 yuan (AS$77).

“Saya mahu menjadi pegawai polis untuk melawan orang jahat,” kata Wang kepada syarikat penerbitan The Paper yang berpengkalan di Shanghai. “Perjalanan ke sekolah adalah sejuk tetapi ia tidaklah sukar!” – AFP