RedBull minuman tenaga The Run 2015

RedBull minuman tenaga The Run 2015

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – RedBull diumumkan sebagai minuman tenaga rasmi Larian Amal Pusat Ehsan (The Run) ke-4, pada 24 Mei depan, yang akan diedarkan kepada para pelari kategori 5km, 12km dan 21km, sebelum dan selepas larian, di perkarangan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Pengarah Urusan Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Malcom Lim, semasa sidang media di Pejabat Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, turut memaklumkan bahawa bagi kategori 2.5km pula, pihak mereka akan mengedarkan Sunsnack, mengandungi biji-biji bunga matahari yang merupakan snek kecil tetapi kaya dengan nutrien dan rasa, selepas larian berkenaan.

Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Pengurus Am Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Valentino Hon, Pengerusi Jawatankuasa The Run dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa The Run, Raja Segaran.

Semasa sidang media itu, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin memberitahu bahawa pendaftaran bagi kategori 2.5km telah dilanjutkan sehingga kelmarin (30 April) dan peserta berkeperluan khas belum menyerahkan borang penyertaan mereka.

Dengan kesibukan acara larian lain sebelum Larian Amal dan peserta berkeperluan khas masih belum diambil kira, kami menjangka pengurangan penyertaan kira-kira 3,500 sahaja. Pengiraan keseluruhan akan dilaksanakan dalam minggu mendatang ini, ujar beliau.

Dato Paduka Haji Mohammad Alimin (dua dari kanan) menerima minuman tenaga rasmi Redbull daripada Malcom Lim.
Dato Paduka Haji Mohammad Alimin (dua dari kanan) menerima minuman tenaga rasmi Redbull daripada Malcom Lim.

Menurutnya lagi, peserta yang telah mendaftar adalah seramai 500 bagi Cabaran Korporat, iaitu 50 pasukan daripada syarikat-syarikat tempatan, yang mana, ini adalah jumlah tertinggi sejak Pusat Ehsan memulakan acara The Run empat tahun yang lalu.

Sementara itu, 400 lagi telah pun berdaftar untuk menyertai larian separa maraton. Larian ini juga menarik banyak penyertaan pelari luar negara yang terhad kepada kategori 21km.

Beliau turut memaklumkan bahawa para peserta boleh mengambil kit larian (baju T, nombor bib dan cip komputer) pada 21 hingga 23 Mei depan dari pukul 9 pagi hingga 6 petang (kecuali Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 6 petang).

Para peserta dan bukan peserta juga dinasihatkan agar memulangkan kad sumbangan berserta wang atau resit semasa sesi mengambil kit yang disebutkan itu.

Projek tahunan Pusat Ehsan ini diperakui dan dipersetujui oleh Lembaga Pemegang Amanah dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Kategori-kategori larian yang dibukakan bagi penyertaan orang ramai adalah 21km Separa Maraton Terbuka, bagi penyertaan 16 tahun ke atas; 12km Terbuka, bagi 14 tahun ke atas (warganegara ASEAN dan Brunei); Veteran 12km, berumur 40 tahun ke atas (warganegara Brunei); 5km Cabaran Korporat, bagi peserta 12 tahun ke atas; 5km Terbuka, bagi peserta 12 tahun ke atas (warganegara Brunei); 2.5km Fun Run, terbuka kepada semua, termasuk keluarga; dan 2.5km Terbuka, bagi penyertaan orang berkeperluan khas/orang-orang istimewa dan paraplegik.

ARTIKEL YANG SAMA