Redha dengan ketentuan Allah

Redha dengan ketentuan Allah

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Meredai ketentuan Allah dan meredai hikmat bencana dan kebaikan yang menimpa diri kita merupakan inti pati syarahan bertajuk ‘Why Allah Allow Bad Things To Happen’ (Mengapa Allah Makbulkan Perkara Buruk Berlaku) yang diadakan sempena Minggu Aspirasi Islam ke-6 2016 di Dewan Inspirasi, Pusat Pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Hadir sebagai penceramah pada majlis anjuran Eksekutif Keagamaan dan Kerohanian UBD itu ialah Pakar Penterjemah, Jabatan Mufti Kerajaan, Hajah Sharifah Khadijah Husien Alkaff dan mahasiswi jurusan Ijazah UBD, Dayangku Nurul Hafinah binti Pengiran Haji Sazali.

Pada mukadimah syarahannya, Hajah Sharifah Khadijah menceritakan pengalamannya menjawab pertanyaan anak lelaki beliau yang mempersoalkan mengapa Allah S.W.T. menurunkan hujan pada hari pertama anaknya memulakan kelas renang yang akhirnya terpaksa dibatalkan.

Setelah menadah tangan memohon hidayat Allah S.W.T., beliau telah menerangkan hujan yang diturunkan oleh Allah S.W.T. pada hari itu yang mengakibatkan pembatalan kelas renang yang dinantikan anaknya sejak sebulan lalu, berkemungkinan sebagai memakbulkan doa-doa para petani, haiwan dan makhluk Allah S.W.T. lain yang memerlukan air hujan untuk terus hidup atau menyuburkan hasil tanaman para petani.

Beliau seterusnya memetik ayat-ayat suci Al-Quran yang berkaitan dengan tajuk itu untuk memperjelaskan lagi ketentuan Allah menurunkan rahmat-Nya ke muka bumi ini.

Hajah Sharifah Khadijah (kiri) ketika menyampaikan ceramahnya sambil diperhatikan oleh Dayangku Nurul Hafinah.
Hajah Sharifah Khadijah (kiri) ketika menyampaikan ceramahnya sambil diperhatikan oleh Dayangku Nurul Hafinah.

Sebanyak 12 perkara mengenai isu telah dikupas oleh Hajah Sharifah Khadijah dan Dayangku Nurul Hafinah sepanjang satu jam setengah ceramah itu diadakan di hadapan kira-kira 50 orang pelajar dan warga UBD lain.

Menurut Pegawai Agama UBD, Dayangku Siti Norainul Fathni binti Pengiran Haji Tajuddin selaku Penasihat dan Penyelaras Program Minggu Aspirasi Islam 2016, ceramah motivasi itu merupakan pengisian hari kelima Minggu Aspirasi Islam yang telah bermula sejak 14 Mac 2016.

“Tajuk ini dipilih hasil daripada mesyuarat bersama oleh kalangan pelajar kerana kami dapati ramai pelajar ingin mengetahui lebih lanjut mengapa perkara buruk sering menimpa umat Islam,” kata beliau ketika ditemu bual.

Menurutnya, sebagai pegawai agama, ada kalanya beliau didatangi para pelajar yang sedang mengalami tekanan dan kemurungan, dan ceramah itu diharap dapat merungkaikan kemusykilan para pelajar yang sering mempersoalkan kejadian-kejadian buruk yang menimpa mereka.

Sejajar dengan Minggu Aspirasi Islam 2016, Persatuan Mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (PMUBD) juga telah mengadakan pameran interaktif untuk pada pengunjung yang turut dibukakan kepada orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA