Reds akan jadi lebih baik – Klopp

Reds akan jadi lebih baik – Klopp

LONDON, 11 Mei (Agensi) – Pengurus Liverpool, Juergen Klopp (gambar) yakin skuad bimbingannya akan menampilkan peningkatan pada musim depan dan merasakan tempoh tujuh bulan di kelab Merseyside itu memberikannya tapak yang sangat kukuh.

Klopp yang menggantikan Brendan Rodgers sebagai bos Liverpool pada Oktober tahun lalu membimbing pasukan itu ke tangga kelapan liga berbaki dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selain itu, pengurus kelahiran Jerman itu turut berpeluang menamatkan penantian 11 tahun The Reds untuk menjulang kejuaraan di peringkat Eropah apabila dijadual bertemu kelab Sepanyol, Sevilla di final Liga Europa di Basel, Switzerland, minggu depan.

“Semua orang teruja, di Liverpool kita boleh lihat ia petanda yang baik dan kami sedang membinanya,” kata Klopp kepada wartawan, semalam.

Liverpool Villareal

“Kami sudah meningkat dan saya yakin kami akan terus lakukannya. Ada yang perkara yang perlu menjadi sempurna untuk mendapatkan musim yang baik.

“Saya tidak sabar untuk menunggu musim depan, pra-musim, namun musim ini kami masih memburu apa yang boleh kami dapat.”

Liverpool pada awal pagi ini dijadual menentang satu lagi kelab gergasi Inggeris, Chelsea di Anfield.

Dalam pada itu, Klopp juga yakin kaptennya yang cedera, Jordan Henderson dan penyerang, Daniel Sturridge akan cergas sepenuhnya bagi menghadapi kempen Euro 2016 di Perancis yang bermula pada bulan depan.

Henderson tidak beraksi bersama Liverpool sejak ligamen kakinya tercedera ketika perlawanan Liga Europa menentang Borussia Dortmund, bulan lalu manakala Sturridge sedang bertarung untuk mendapatkan kecergasan terbaik selepas dipalit kecederaan sejak beberapa bulan lalu.

ARTIKEL YANG SAMA