Reds beli pemain The Saints

Reds beli pemain The Saints

LONDON, 26 Jun (Agensi) – Selepas mengikat lima pemain termasuk tonggak Brazil, Roberto Firmino, Liverpool berbelanja lagi dalam usaha untuk memperkukuhkan kedudukannya menghadapi saingan musim baharu.

Semalam, pengurusan skuad The Reds menandatangani perjanjian membeli pemain pertahanan Southampton dan England, Nathaniel Clyne pada harga 12.5 juta pound.

Pemain berusia 24 tahun itu yang mengikat kontrak selama lima tahun, bakal melalui proses ujian perubatan sebaik saja kembali dari bercuti di Amerika Syarikat.

Selain Firmino, pasukan Liverpool yang dibimbing Brendan Rodgers sudah pun membawa masuk James Milner, Danny Ings, Adam Bogdan dan Joe Gomez ke Anfield sebelum ini.

Skuad The Reds sebelum ini sudah pun pernah membida untuk mendapatkan Clyne dari Southampton tapi ditolak.

Liverpool membeli Clyne dari Southampton dengan harga 12.5 juta pound. – Reuters
Liverpool membeli Clyne dari Southampton dengan harga 12.5 juta pound. – Reuters

Namun kelab ini kembali dengan tawaran lebih baik iaitu tambahan 2.5 juta pound berbanding 10 juta pound sebelumnya, selepas pemain itu yang di tahun terakhir kontraknya di St Mary, menyatakan minat untuk berpindah.

Pembelian Cyline ini bakal menyaksikan dia bakal bersatu semula dengan bekas pemain Southampton yang lebih dulu menyertai Liverpool iaitu Adam Lallana, Dejan Lovren dan Rickie Lambert – dibeli dengan gabungan kos pembelian sebanyak 49 juta pound pada musim panas lalu.