Reds ke separuh akhir Liga Europa

Reds ke separuh akhir Liga Europa

LIVERPOOL, 15 April (AFP) – Wira Anfield, Dejan Lovren memuji semangat tidak menyerah kalah Liverpool ketika mereka mempamer kebangkitan menakjubkan untuk menewaskan Borussia Dortmund di suku akhir kedua Liga Europa, awal pagi tadi.

Skuad Jurgen Klopp hampir tersingkir namun kebangkitan luar biasa yang dipamerkan memastikan kemenangan 4-3 sekali gus mara ke separuh akhir dengan agregat 5-4.

Dengan suasana penuh ceria di Anfield, Lovren berkata dia nyata kagum dengan cara dipamerkan pasukannya ketika menewaskan bekas kelab pengurus mereka.

“Ia satu perasaan yang cukup hebat. Salah satu perlawanan terbaik dalam tempoh dua atau tiga tahun ini,” katanya kepada BT Sport. “Kami tidak pernah berhenti untuk terus percaya kepada diri sendiri. Ia satu usaha yang hebat daripada semua orang. Kami tidak jangka bermula seperti ini.”

Kemenangan dramatik itu meletakkan perlawanan itu sebagai antara yang terhebat dalam sejarah di Anfield ketika Divock Origi memulakan harapan buat Liverpool dengan gol pertama pasukannya.

Paparan skrin menunjukkan kelab-kelab yang akan berentap pada pertemuan separuh akhir Liga Europa selepas cabutan undi ibu pejabat UEFA di Nyon, petang tadi. – AFP
Paparan skrin menunjukkan kelab-kelab yang akan berentap pada pertemuan separuh akhir Liga Europa selepas cabutan undi ibu pejabat UEFA di Nyon, petang tadi. – AFP

“Kami boleh ceritakan kepada anak dan cucu kami. Apabila kami jaringkan gol pertama, kami dapat rasanya ia akan jadi detik istimewa,” kata Origi. “Paling penting adalah pemain bermain dengan jiwa dan penyokong tidak pernah meninggalkan kami,” kata Mamadou Sakho.

Dalam aksi awal pagi tadi, Liverpool sudah ketinggalan 2-0 sejak 9 minit pertama apabila Henrikh Mkhitaryan membuka tirai jaringan Dortmund pada minit kelima sebelum penyerang prolifik, Pierre-Emerick Aubameyang menyumbat gol kedua empat minit kemudian.

Bagaimanapun, Origi memulakan kebangkitan Liverpool apabila merapatkan jurang tiga minit selepas babak kedua bermula namun Reus meletakkan Dortmund dalam kedudukan selesa semula apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-57.

Philippe Cautinho kemudian merapatkan jurang dengan jaringan kedua sebelum Sakho menanduk masuk hasil sepakan sudut pada minit ke-78 untuk menyamakan kedudukan 3-3.

Lovren muncul wira Liverpool apabila melengkapkan kebangkitan menakjubkan Liverpool dengan menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-91 sekali gus membawa The Reds ke separuh akhir.

ARTIKEL YANG SAMA