Reds mara ke final Piala Liga

Reds mara ke final Piala Liga

LIVERPOOL, 27 Jan – Kelab Liverpool mara ke final Piala Liga Inggeris selepas menewaskan Stoke City di Anfield, di sini, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu menang 6-5 menerusi sepakan penentuan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebaik perlawanan kedua berakhir.

Dalam aksi awal pagi tadi itu, Stoke berjaya mengatasi tuan rumah 1-0 menerusi jaringan Marko Arnautovic pada masa kecederaan babak pertama, menjadikan kedudukan 1-1 secara agregat.

Simon Mignolet tampil sebagai penyelamat Liverpool apabila menyelamatkan sepakan penalti Marc Muniesa untuk mara ke final Piala Liga Inggeris dengan mengetepikan Stoke City 6-5 menerusi penentuan penalti.

Perlawanan separuh akhir kedua ini terpaksa diheret ke masa tambahan dan sepakan penentuan, selepas kelebihan satu gol Liverpool pada aksi pertama dipadam oleh jaringan Marko Arnautovic meskipun dilihat berada dalam kedudukan ofsaid.

Pemain Liverpool meraikan kemenangan selepas Joe Allen menyempurnakan sepakan penentuan semalam. – Reuters
Pemain Liverpool meraikan kemenangan selepas Joe Allen menyempurnakan sepakan penentuan semalam. – Reuters

Ketika Mignolet berjaya menggagalkan sepakan Muniesa, skuad The Reds juga harus berterima kasih kepada Joe Allen yang berjaya menyempurnakan sepakan penentuan terakhir.

Berdasarkan prestasi semasa, kejayaan Liverpool itu begitu diperlukan buat pengurusnya, Jurgen Klopp, yang bakal menanti Manchester City atau Everton pada aksi final dijadualkan 28 Februari ini.

“Gol mereka adalah ofsaid tetapi akhirnya kami bernasib baik pada penentuan penalti. “Selepas 120 minit, pemain, penyokong dan Liverpool memang berhak menang. Wembley adalah tempat yang menarik untuk bola sepak tetapi kami ke sana untuk menang,” kata Klopp.

Liverpool bakal bertemu sama ada Manchester City atau Everton pada aksi final di Wembley pada 28 Februari ini. Kedua-dua pasukan itu akan berentap jam 3:45 pagi esok. – AFP