Reds optimis sambar bintang Piala Dunia

Reds optimis sambar bintang Piala Dunia

LONDON, 29 Mac (Agensi) – Liverpool yakin dapat mengikat pemain juara Piala Dunia, Jerman Mario Goetze pada harga diskaun sebanyak 20 juta pound.

Pemain tengah Bayern Munich itu secara peribadi menyatakan betapa dia sekali lagi sedia bekerjasama dengan Jurgen Klopp selepas melakukannya dengan baik ketika mewakili Borussia Dortmund.

Pengurus Jerman, Joachim Low, minggu lalu mendedahkan ada menasihatkan Goetze untuk bercakap dengan pengurus Bayern yang akan datang, Carlo Ancelotti sebelum membuat sebarang keputusan meninggalkan kelab itu pada musim panas ini.

Nilai Goetze dianggarkan sekitar 30 juta pound. Dia masih mempunyai kontrak selama setahun, sekali gus memberikan harapan kepada Liverpool untuk mendapatkan seorang daripada pemain paling berbakat di Eropah yang hanya berusia 23 tahun.

Hubungan baik Goetze dengan Klopp menjadikan khabar angin perpindahannya ke Anfied semakin bertiup kencang. – Reuters
Hubungan baik Goetze dengan Klopp menjadikan khabar angin perpindahannya ke Anfied semakin bertiup kencang. – Reuters

Malah, Liverpool juga tetap berminat untuk menambah pertahanan kiri dengan pemain Cologne, Jonas Hector selain Ben Chilwell dari Leicester City dan bintang Lorient, Raphael Guerreiro berada dalam senarai mereka.

The Reds juga meneruskan perbincangan berkenaan perpindahan pemain tengah Udinese, Piotr Zielinski yang dipinjamkan ke Empoli.

Goetze yang menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan untuk Jerman menewaskan Argentina pada final Piala Dunia 2014, hanya bermain 12 kali bersama Bayern Munich musim ini.