Reds, Sevilla didenda akibat masalah penyokong

Reds, Sevilla didenda akibat masalah penyokong

LONDON, 26 Julai – Liverpool dan Sevilla masing-masing didenda oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) semalam susulan masalah yang dicetuskan penyokong sebelum dan semasa aksi final Liga Europa di Basel, Mei lalu.

Sevilla, yang menang 3-1 dan menjadi juara kejohanan didenda 17,000 euro manakala Liverpool didenda 16,000 euro.

Denda dikenakan kerana kesalahan berkaitan gangguan penyokong, membakar mercun dan bunga api serta memaparkan kain rentang yang dilarang.

Beberapa kumpulan kecil penyokong bergaduh di belakang tiang gol sebelum sepak mula dengan penyokong mendakwa kawalan keselamatan yang lemah menyebabkan insiden itu.

Terdapat juga kritikan terhadap keputusan UEFA memilih gelanggang final di Stadium St Jakob-Park yang hanya mampu berkapasiti 35,000 yang dikatakan amat kecil untuk menjadi tuan rumah antara perlawanan final utama Eropah itu. – AFP