Reds tak rela derita lagi

Reds tak rela derita lagi

LONDON, 27 Julai (Agensi) – Jordan Henderson memberi amaran bahawa Liverpool akan menggunakan kekecewaan musim lalu untuk mencipta kejayaan musim depan.

Skuad Reds gagal meneruskan kecemerlangan menduduki tangga kedua pada 2013-14 apabila mereka tergelincir ke tangga keenam dalam Liga Perdana dan tersingkir di separuh akhir dalam dua kejohaan piala domestik tahun lalu.

Meskipun kempen baru menawarkan peluang untuk permulaan baru, kapten yang baru dilantik Henderson mengakui kegagalan sebelum ini masih menghantui mereka.

Namun, dia yakin untuk menggunakan kegagalan itu sebagai motivasi bagi memperbaiki prestasi pasukan bermula dengan perlawanan pembukaan dengan Stoke City.

“Saya masih mengingati kegagalan itu,” katanya ketika temubual ekslusif dengan LFCTV. Maksud saya, anda mahu melupakannya, tapi ia tetap berlegar dalam fikiran.

Brendan Rodgers melambai ke arah peminat Malaysia semasa sesi latihan 23 Julai lalu sebelum aksi persahabatan di Stadium Bukit Jalil kelmarin. – AFP
Brendan Rodgers melambai ke arah peminat Malaysia semasa sesi latihan 23 Julai lalu sebelum aksi persahabatan di Stadium Bukit Jalil kelmarin. – AFP

“Saya fikir ia bagus kerana anda akan selalu berusaha untuk mencuba dan meningkatkan diri. Kami akan menggunakannya bagi melakukan yang terbaik.

“Jadi, walaupun musim lalu agak mengecewakan untuk kami, tapi ia boleh digunakan untuk kami maju ke depan musim ini dan saya berharap kami boleh melakukannya pada perlawanan pertama nanti.

“Kami menentang lawan yang sama ketika menutup kempen musim lalu dengan sangat teruk. Kami sangat kecewa namun saya yakin perlawanan pertama musim baru ini adalah peluang untuk membetulkan semula.

Pemain berusia 24 tahun itu sedar dengan kelemahan yang mereka alami musim lalu.

Dan dia berjanji untuk berlatih lebih gigih bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang.

“Kami sudah berbincang mengenai masalah musim lalu. Kami berusaha keras pada pramusim dan sememangnya kami mencuba pelbagai cara untuk kembali cergas dengan kehadiran pegawai dan pemain baru,” katanya.