Reds tambah derita Southampton

SOUTHAMPTON, 12 Feb – Virgil van Dijk meraikan kemenangan Liga Perdana pertamanya ketika pemain pertahanan termahal dunia itu kembali ke Southampton selepas menyaksikan Roberto Firmino dan Mohamed Salah memastikan Liverpool mencatatkan kemenangan 2-0 di St Mary awal pagi tadi.

Van Dijk diejek oleh penyokong tuan rumah berikutan perpindahannya yang bernilai 75 juta pound (AS$104 juta) ke Anfield bulan lalu, tetapi berjaya membalas dendam ke atas Southampton, yang jatuh ke zon penyingkiran.

Sebagai perbandingan, Liverpool kembali berada di atas Tottenham, di tangga ketiga, dan dua mata di belakang pesaing Manchester United berikutan kekalahan Man United di Newcastle awal semalam.

Pasukan kendalian Jurgen Klopp bermula dengan pantas apabila menjaringkan gol dalam tempoh 10 minit buat kali kesembilan pada kempen ini.

Van Dijk memulakan gerakan itu apabila dia menghalang hantaran jauh Southampton dengan menanduk bola kepada penjaga gol Loris Karius, yang kemudian membuat lontaran jauh kepada seorang lagi bekas pemain Southampton, Alex Oxlade Chamberlain.

Roberto Firmino berjaya melepasi terjahan pemain Southampton, Oriol Romeu dalam aksi Liga Perdana di Southampton. – AP

Chamberlain kemudian membuat hantaran kepada Salah sebelum pemain dari Mesir itu membuat hantaran ke tengah kepada Firmino untuk melakukan sentuhan penyudah bagi gol ke-20 musim ini.

Southampton memberikan respons dengan baik, tetapi kekurangan sentuhan klinikal ketika mereka masih tercari-cari kemenangan pertama dalam liga di gelanggang sendiri sejak November.

Tetapi Liverpool menunjukkan mengapa pasukan itu bersaing di kedudukan yang bertentangan dalam carta apabila menggandakan pendahuluan mereka tiga minit sebelum separuh masa.

Firmino membalas balik jasa Salah bagi jaringan pertama dengan hantaran licik ke laluan Salah untuk gol liga yang ke-22 peribadinya dalam kempen ini.

Sekali gus merapatkan jumlah jaringannya kepada satu gol di belakang Harry Kane dalam perebutan kasut emas. – AFP