Reds tolak 25 juta pound ‘Sterling’

Reds tolak 25 juta pound ‘Sterling’

LONDON, 12 Jun (AFP) – Liverpool telah menolak tawaran 25 juta pound (AS$38 juta) Manchester City untuk penyerang England Raheem Sterling, menurut laporan semalam.

Sterling telah memberitahu pengurus Liverpool Brendan Rodgers dia mahu meninggalkan Anfield untuk menyertai kelab yang boleh menawarkan kepadanya aksi Liga Juara-Juara musim depan dan City telah membuat langkah pertama untuk menyelesaikan masa depannya.

Menurut Times, tawaran City bernilai 25 juta pound dengan 5 juta akan dibayar sebagai potensi tambahan.

Tetapi Liverpool berazam untuk terus menahan pemain muda paling berbakat dan tidak mengendahkan pendekatan untuk pemain berusia 20 tahun itu yang masih ada dua tahun lagi baki kontrak semasa 35,000 pound seminggu.

Adalah dipercayai bahawa hanya tawaran astronomi sekurang-kurangnya 50 juta pound dapat memujuk Liverpool untuk mempertimbangkan pemergian Sterling.

Liverpool tolak tawaran 25 juta pound dari Citizen untuk Sterling. – Reuters
Liverpool tolak tawaran 25 juta pound dari Citizen untuk Sterling. – Reuters

Liverpool tetap berminat untuk meyakinkan Sterling menandatangani kontrak baru, walaupun beliau menolak satu perjanjian yang akan dibayar kepadanya sekitar 100,000 pound seminggu awal tahun ini.

Keengganan Sterling untuk komited dengan Liverpool telah menimbulkan kemarahan penyokong kelab sehingga beliau dicemuh pada majlis makan malam anugerah akhir musim.

Keadaan menjadi lebih parah apabila ejennya Aidy Ward bulan lalu berkata tidak ada peluang Sterling akan melanjutkan kontraknya walaupun Liverpool menawarkan jumlah wang yang besar.

Liverpool memberikan respons dengan membatalkan mesyuarat yang dijadualkan dengan Sterling dan wakilnya, manakala Rodgers meninggalkan pemain sayap itu di bangku simpanan ketika dibelasah Stoke 6-1 pada hari terakhir musim Liga Perdana Inggeris.