Reformasi FIFA

Reformasi FIFA

PARIS, 23 Julai – FIFA perlukan pembaharuan tetapi cadangan dan perlaksanaannya bukan di bawah Sepp Blatter yang dilanda masalah, bekas naib presiden Putera Ali Al-Hussein dari Jordan memberitahu AFP semalam.

Putera berusia 39 tahun itu – yang tewas kepada Blatter dalam pilihan raya akhir Mei lalu sebelum warga Switzerland itu secara dramatik mengumumkan beliau meletak jawatan beberapa hari kemudian ketika skandal rasuah dahsyat menyelubungi badan pentadbir bola sepak – berkata proses pembaharuan yang telah ditetapkan dan akan disemak oleh satu pasukan petugas khas hanyalah ‘perhiasan’ semata-mata.

Blatter pada Isnin mengumumkan satu pasukan dengan 11 petugas bersama seorang pengerusi bebas, akan menyediakan pembaharuan termasuk had penggal bagi pemimpin, pemeriksaan latar belakang lebih tegas terhadap ahli jawatankuasa eksekutif dan penerbitan gaji pegawai tertinggi.

Beberapa penaja utama telah menekan FIFA untuk melakukan sesuatu selepas pihak berkuasa AS mendakwa 14 orang termasuk tiga bekas naib presiden FIFA kerana dituduh mengambil atau memberi rasuah berjuta-juta dolar sebagai balasan pemasaran bola sepak dan kontrak televisyen.

Putera Ali percaya sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk memulakan proses berkenaan kerana rejim lama masih berkuasa.

Putera Ali Al-Hussein dari Jordan (kiri) menyokong reformasi FIFA tetapi bukan di bawah Blatter (kanan). – Reuters
Putera Ali Al-Hussein dari Jordan (kiri) menyokong reformasi FIFA tetapi bukan di bawah Blatter (kanan). – Reuters

“Kita memerlukan proses yang jelas, garis masa yang jelas dan bidang kuasa yang benar-benar jelas,” kata Ali dalam satu kenyataan merujuk kepada proses pembaharuan yang dihantar kepada AFP.

“Dan semua ini harus dimiliki oleh Presiden baru. Walaupun pembaharuan amat dialu-alukan dan amat diperlukan, semua itu adalah mandat presiden baru, bukan yang lama.

“Pembaharuan ini akan terpakai untuk semua persatuan bola sepak dan presiden baru dan mereka perlulah menjadi sebahagian daripada mandat beliau.

“Adalah menjadi tanggungjawab presiden baru untuk memastikan semua sistem yang perlu untuk melaksanakan perubahan yang benar-benar diperlukan, bukan pasukan petugas khas yang tergesa-gesa.”

Ali – yang mungkin bertanding lagi dalam pilihan raya presiden pada 26 Februari, naib presiden FA Jordan Sala Sabra memberitahu AFP awal Jun – berkata garis masa yang dicadangkan untuk mengkaji pembaharuan terlalu pendek untuk mendapatkan input daripada semua Persatuan Bola Sepak di peringkat global. – AFP