Reformasi TVET untuk lebih relevan

Reformasi TVET untuk lebih relevan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) memainkan peranan yang penting sebagai enjin pertumbuhan, oleh itu, kewujudan tenaga kerja mahir yang dihasilkan oleh sistem TVET yang efektif akan membolehkan ekonomi untuk bergerak maju dari segi teknologi, produktiviti serta menjadikan ia kompetitif secara global.

Dr. Chin berkata bahawa TVET memainkan peranan yang penting sebagai enjin pertumbuhan dalam melahirkan tenaga kerja yang mahir bagi memenuhi keperluan negara.
Dr. Chin berkata bahawa TVET memainkan peranan yang penting sebagai enjin pertumbuhan dalam melahirkan tenaga kerja yang mahir bagi memenuhi keperluan negara.

Memandangkan peranan penting yang dimainkan oleh TVET, negara-negara di seluruh dunia sedang membaharui Sistem TVET masing-masing dan Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali dalam usaha itu, jelas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr. Chin Wei Kei dalam kata alu-aluannya pada Perasmian Persidangan TVET Antarabangsa 2016 yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Hadir dan menyempurnakan perasmian persidangan itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku wakil peribadi Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Dr Chin menambah bahawa TVET yang dikenal pasti sebagai salah satu aliran di mana golongan belia boleh mendapatkan kemahiran bagi menjana perubahan, inovasi dan keusahawanan telah diberikan peranan signifikan dalam pembangunan masyarakat yang saksama dan mapan.

Sehubungan itu, Brunei menerusi IBTE, jelasnya, telah merombak sistem TVET supaya ia menjadi lebih relevan dan responsif kepada ekonomi tempatan dan global serta tetap selaras dengan aspirasi belia negara.

Dr Chin berkata bahawa persidangan yang membawa tema ‘Memastikan Impak TVET yang Lebih Bermakna bagi Pembangunan Mapan’, serta yang mengetengahkan enam tema kecil iaitu ‘Mengukuhkan Kerjasama Industri, Inisiatif TVET dalam Menyokong Komuniti Ekonomi ASEAN,’ ‘Mengintegrasikan Kema-hiran Abad Ke-21 dalam TVET,’ ‘Menyediakan Pelajar TVET bagi Pekerjaan Hijau,’ ‘Meningkatkan Kualiti TVET dan Amalan serta Dasar TVET Inovatif,’ adalah amat relevan dan bertepatan dengan agenda TVET.

Antara peserta yang menyertai persidangan selama dua hari itu.
Antara peserta yang menyertai persidangan selama dua hari itu.

Beliau yakin persidangan itu dapat menjadi platform bagi semua pihak yang relevan untuk berkongsi amalan terbaik, dapatan penyelidikan dan inovasi mengenai kaedah terbaik bagi TVET untuk menyumbang kepada pembangunan mapan.

Terdahulu daripada itu, Pengarah Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa persida-ngan dua hari itu disertai oleh lebih dari 250 orang peserta di mana kira-kira 114 orang ialah peserta tempatan dan 138 orang lagi merupakan peserta antarabangsa.

Persidangan itu menyaksikan seramai 17 orang penceramah plenari dan seramai 35 orang penceramah akan membentangkan sesi pembentangan di mana ia mengetengahkan dan mengongsi amalan terbaik serta inovasi dalam meningkatkan lagi dan membaiki dasar pendidikan vokasional dan teknikal.

Persidangan dua hari itu juga mengetengahkan penyampaian dua ucaptama oleh penceramah undangan iaitu Profesor Dr. Georg Spottl dari Jerman dan Dr. Law Song Seng dari Singapura yang mengongsi mengenai usaha untuk memastikan impak TVET kepada pembangunan mapan.

Persidangan itu bermatlamat untuk memberikan peluang bagi menubuhkan rangkaian hubungan inisiatif TVET negara, serantau dan antarabangsa, berkongsi dasar dan amalan yang memberi respons kepada keperluan dan program-program Komuniti Ekonomi ASEAN, mengenal pasti strategi bagi mengintegrasikan konsep bagi pembangunan mapan TVET serta untuk mengenal pasti idea-idea inovatif yang boleh meningkatkan kualiti dan imej TVET.