Regalblue Production meterai perjanjian bagi ‘RINA2’

Regalblue Production meterai perjanjian bagi ‘RINA2’

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Syarikat produksi tempatan, Regalblue Production telah menandatangani perjanjian dengan Lao Art Media Co. Ltd dari Laos bagi projek filem ‘RINA2’.

Majlis penandatanganan perjanjian berkenaan telah diadakan di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos dengan disaksikan oleh Atase Perhubungan, Kedutaan Besar Brunei di Laos, Awang Abdul Karim Bini dan Ketua Pengarah Jabatan Perfileman Laos, Kementerian Maklumat, Kebudayaan dan Pelancongan Laos, Dr Bounchom Vongphet.

Menandatangani bagi pihak Regalblue Production ialah Pengurusnya, Dayang Nurain Abdullah manakala itu, Lao Art Media Co. Ltd diwakili Presidennya, Anousone Sirisackda.

RINA2 adalah sekuel bagi filem Ada Apa dengan Rina yang ditayangkan di pawagam Brunei pada tahun 2013.

Permulaan bagi penggambaran RINA2 ini dirancang bermula pada bulan September nanti dan akan diadakan di Bandar Seri Begawan dan Vientiane.

Dayang Nurain dan Anousone Sirisackda semasa penandatanganan di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos.
Dayang Nurain dan Anousone Sirisackda semasa penandatanganan di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos.

Filem arahan Harlif Haji Mohamad itu dijangka akan ditayangkan di pawagam pada tahun 2017 dengan menampilkan tiga pelakon utama dari Brunei, Syukri Mahari, Tauffek Illyas dan Haji Yahya Beruddin.

Objektif bagi projek ini adalah untuk merealisasikan projek filem bersama antara negara-negara ASEAN yang lain dan dalam usaha untuk memajukan lagi pembangunan industri filem di Brunei, perkongsian dana, pengumpulan bakat, tolong-menolong untuk memperluaskan pasaran.

Projek ini diharapkan akan dapat memberi sumbangan yang lebih kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kedua-dua syarikat pengeluaran juga berharap RINA2 akan menjadi duta untuk memperkenalkan kedua-dua negara, Brunei dan Laos kepada dunia.

ARTIKEL YANG SAMA