Regata Brunei 2016 mencabar

Regata Brunei 2016 mencabar

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Kumpulan Lumba Perahu Putera Lawas mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut dan sekali gus membawa pulang piala pusingan kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bagi lumba perahu tradisi 30 pekayuh (maraton).

Ketua kontinjen Kumpulan Lumba Perahu Putera Lawas, Awang Damit Ali Hassan ketika ditemui berkata, ini adalah penyertaan paling sukar dan merasakan tekanan besar untuk menjuarai Bahagian 30 Pekayuh Terbuka Maraton kali ini di dalam Regata Brunei Darussalam 2016.

“Pada tahun pertama penyertaan di dalam Regata Brunei Darussalam empat tahun lalu kami berjaya tampil juara namun tumpas tahun selepasnya dan dua kali kami menjuarai acara yang sama dan kali terakhir tahun lalu memberikan tekanan hebat kepada kami untuk mencapai kejuaraan kali ini,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, kejayaan kali ini menjadi ristaan sejarah Pasukan Putera Lawas yang memulakan latihan sejak dua bulan lalu pada acara terbuka di Sabah.

“Semua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing dan apa yang penting kepada kami selain kemampuan berkayuh persiapan juga dibuat daripada aspek psikologi supaya setiap pekayuh siap siaga dalam perlumbaan kali ini,” ujarnya lagi.

Gambar ramai juara Bahagian 30 Pekayuh Terbuka Maraton, Kumpulan Lumba Perahu Putera Lawas.
Gambar ramai juara Bahagian 30 Pekayuh Terbuka Maraton, Kumpulan Lumba Perahu Putera Lawas.

Menurut Awang Damit, kelebihan kali ini adalah apabila ditempatkan di lorong tengah kerana ia memberikan kelebihan dari segi jarak bersama perahu lain dan ia memberikan peluang untuk mereka menggunakan kelebihan ini untuk memecut laju.

“Sememangnya kejayaan menjadi tumpuan utama namun kami di sini juga sangat gembira untuk bertemu sahabat, saudara dan keluarga yang sememangnya sentiasa kami rindu dan peluang berada di negara ini akan diambil sebaik mungkin,” ujarannya lagi.

Mengulas mengenai tahun hadapan, beliau mewakili seluruh warga Pasukan Putera Lawas akan terus komited menyertai kejohanan ini jika dijemput menyertainya.

Manakala itu, juara bagi Bahagian 25 Pekayuh, Pasukan Laila Cheteria Majlis Lumba Perahu Kampung Lorong Dalam berjaya merampas kejuaraan Pasukan Kuala Lawas tahun lalu di dalam Regata Brunei Darussalam 2016.

Gambar ramai Pasukan Laila Cheteria iaitu juara bagi Bahagian 25 Pekayuh.
Gambar ramai Pasukan Laila Cheteria iaitu juara bagi Bahagian 25 Pekayuh.

Pengurus Pasukan Lela Cheteria Kampung Lorong Dalam, Pengarah Haji Ibrahim bin Haji Mohd Yusuf melahirkan perasaan syukur dan berbesar hati dengan semangat juang tinggi para pekayuh untuk berjaya menumpaskan pasukan lain yang bersaing untuk perlumbaan Bahagian 25 Pekayuh terbuka (perahu tradisi).

“Kami mula berlatih pada Lumba Perahu Tradisi (Dragon Boat Race) terbuka di Kota Kinabalu di Sabah baru-baru ini dan dari sana kami meneruskan latihan untuk memantapkan lagi pasukan kami,” ujarnya kepada Media Permata.

Mengulas mengenai cabaran katanya sememangnya dua pencabar lain di dalam bahagian yang disertai itu adalah yang terbaik dan memberikan persaingan yang sengit dan baginya bukan jalan mudah untuk menjulang kejayaan hari ini.

“Kami akan menyertai beberapa perlawanan dalam dan luar negeri sedikit masa lagi termasuk bagi peringkat belia kebangsaan dan di Kuching Sarawak November 2016 nanti,” tegasnya lagi.

Gambar ramai Pasukan Regata TelBru yang tampil juara di dalam Bahagian Lumba Perahu 15 Pekayuh Jemputan Swasta dan Institusi Pengajian Tinggi (Perahu Kaca Gentian).
Gambar ramai Pasukan Regata TelBru yang tampil juara di dalam Bahagian Lumba Perahu 15 Pekayuh Jemputan Swasta dan Institusi Pengajian Tinggi (Perahu Kaca Gentian).

Kemudian Pasukan Regata TelBru tampil juara di dalam Bahagian Lumba Perahu 15 Pekayuh Jemputan Swasta dan Institusi Pengajian Tinggi (Perahu Gentian Kaca) di dalam Regata Brunei Darussalam 2016 di sini.

Mengulas mengenai kejayaan ini Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay menegaskan penyertaan Tel-Bru di dalam acara seperti ini adalah sebagai penghubung kerjasama dengan semua pihak di negara ini.

“Kami sangat berbangga dengan penyertaan dan kejayaan hari ini dan akan terus berusaha menyertai acara tahunan ini sebagai sokongan memeriahkan lagi suasana perlumbaan lumba perahu tempatan yang kian digemari,” ujarnya.

Menurutnya lagi penglibatan TelBru di dalam perlumbaan ini adalah antara kepentingan yang diterapkan di dalam pertubuhan berkenaan untuk mempromosikan gaya hidup sihat serta sokongan padu Kelab Sukan dan Rekreasi TelBru kepada penglibatan warganya dalam acara sukan domestik.

Sementara itu Ketua Pasukan TelBru, Azizi Azmaan pula menegaskan persiapan sudah dibuat sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan menurutnya semua usaha itu sangat berbaloi dengan kejayaan hari ini.