Regata simbol keharmonian dan perpaduan

Regata simbol keharmonian dan perpaduan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Regata, yang memperlihatkan kerjasama antara para pesertanya, merupakan sukan yang boleh menimbulkan simbol keharmonian dan perpaduan apatah lagi melibatkan negeri-negeri dari negara jiran termasuk Sabah dan Sarawak

“Sukan ini juga sebagai satu lambang kepada Brunei Darussalam, yang mana Brunei Darussalam boleh menjadi pusat sukan Regata di masa hadapan.”

Ini adalah hasil kaji selidik yang dijalankan oleh Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Dr Haji Tassim bin Haji Abu Bakar yang dikongsinya semasa membentangkan tajuk ‘Persahabatan Melalui Sukan Regata Seborneo’ dalam seminar yang berlangsung di Galeri Seni, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, pagi tadi.

Menurut beliau, Sukan Regata adalah sukan turun-temurun dalam kalangan masyarakat Brunei, sukan yang sangat popular yang turut disertai oleh kerabat diraja.

Hasil kajian beliau, pada 1970an acara lumba perahu disertai oleh kalangan wanita, guru-guru, maktab yang biasanya mewakili kumpulan atau sekolah-sekolah sebagai simbol kebanggaan setiap kumpulan masing-masing.

Dr Haji Tassim (kanan) menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Persahabatan Melalui Sukan Regata Seborneo.’
Dr Haji Tassim (kanan) menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Persahabatan Melalui Sukan Regata Seborneo.’

Seminar dalam majlis Taklimat Regata 2016 yang merupakan salah satu aktiviti sampingan bersempena dengan Pameran Regata Brunei Darussalam 2016 itu turut mengetengahkan dua orang pembentang lain dari Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, iaitu Pengiran Hajah Fatimah binti Pengiran Haji Mohd Noor dan Dayang Norliah binti Mohd Zain dengan tajuk pembentangan ‘Regata Brunei Darussalam: Sukan Kegemilangan Negara’.

Taklimat yang berlangsung dari jam 9 hingga 11 pagi itu julung-julung kalinya diadakan oleh Pusat Sejarah Brunei bersama Jabatan Muzium-muzium, yang mengisar mengenai pelbagai aspek sejarah kegemilangan dan nostalgia, kemeriahan dan perpaduan Regata.

Ia juga mengungkit kerjasama dan persahabatan dalam dan luar negara serta perkembangan ekonomi seperti pelancongan menerusi sukan Regata melalui tema seminar bertajuk ‘Persahabatan Melalui Sukan Regata Seborneo’.

Seminar berkonsepkan bicara itu bertujuan untuk memeriahkan lagi acara Pameran Regata Brunei 2016 serta untuk menyebarluaskan pengetahuan mengenai Regata Brunei Darussalam kepada masyarakat di negara ini dalam bentuk pengkajian lisan dan penulisan.

Selain itu, melalui bicara ini akan dapat berkongsi maklumat dan penjelasan yang lebih lanjut mengenainya. di samping itu untuk memberikan kefahaman dan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran masyarakat di negara ini supaya membuat kajian dengan lebih meluas tentang Regata Brunei Darussalam.

Kira-kira 100 orang peserta dijemput menghadiri taklimat berkenaan yang terdiri daripada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.