Regu badminton Indonesia catat sejarah

Regu badminton Indonesia catat sejarah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Kedua-dua regu berkumpulan Indonesia mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengalahkan saingan masing-masing dalam perlawanan akhir sukan badminton Regu Berkumpulan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASG7) di Kompleks Sukan Menglait malam tadi.

Seperti yang dijangkakan perlawanan tersebut menyaksikan dua gergasi badminton dunia bertembung dalam Bahagian Lelaki sementara bagi Bahagian Perempuan pula Indonesia dengan mudah menjinakkan saingannya daripada Thailand dengan mencatatkan kemenangan 3-0.

Apa yang menarik dalam perlawanan akhir itu merupakan perlawanan Bahagian Lelaki yang menyaksikan pemain-pemain muda Asia Tenggara mempamerkan permainan yang matang dan menghiburkan.

Dalam Perseorangan Lelaki, Lee Z.J memberikan mata pertama kepada Malaysia apabila beliau berjaya menewaskan pemain daripada Indonesia Panji Ahmad Maulana dengan mata 21-14 dan 24-22. Meskipun berada di hadapan pada set pertama, Lee diberikan tentangan hebat oleh pemain muda Indonesia sehingga memaksa perlawanan set kedua ditentukan melalui mata Dius yang akhirnya berpihak kepada pemain Malaysia tersebut.

Sementara itu mata pertama Indonesia dalam Bahagian Lelaki pula diperoleh melalui gandingan M Reza Pahlem Ihsafani dan M Fachricar yang berjaya menjinakkan gandingan Son W.Y dan Ooi Z. H dengan mata 21-19 pada kedua-dua set. Tekanan sangat dirasakan pada perlawanan ketiga yang menyaksikan Ramadhani Muhammad Z berhadapan dengan Tan J. W. yang mendahului set pertama dengan kutipan mata 21-13 sebelum Ramadhani mengejar semula kedudukan untuk memenangi set kedua dengan mata 21-19.

Aksi menarik pemain pasukan badminton Indonesia setelah berjaya menewaskan pasukan lawan.
Aksi menarik pemain pasukan badminton Indonesia setelah berjaya menewaskan pasukan lawan.

pg24_151126_LOGO ASG7

Pemain Malaysia membuat pukulan smash ketika menentang pasukan Indonesia.
Pemain Malaysia membuat pukulan smash ketika menentang pasukan Indonesia.

Dalam set penentuan kedua-dua pemain mempamerkan semangat juang yang tinggi dengan membuat banyak serangan pantas meskipun permainan tampak lebih perlahan pada awal 5 mata sebelum ia bertambah rancak pada mata-mata seterusnya.Namun ternyata Ramadhani yang bertubuh kecil dan merupakan perseorangan kedua menggunakan kepantasannya dengan bijak apabila beliau banyak memaksa Tan JW untuk membuat kesilapan sehingga berjaya mendapatkan mata kedua bagi Indonesia dengan kutipan mata 21-18 pada set penentuan.

Suasana dalam dewan semakin meriah dari awal perlawanan regu kedua daripada kedua-dua negara yang diwakili oleh Ameer dan Kam S. S bagi Malaysia dan Calvin Kristanto dan Bagas Maulana bagi Indonesia. Dalam perlawanan keempat itu, keputusan meletakkan Bagas yang digandingkan dengan Calvin membuahkan hasil dan memperlihatkan keseimbangan daripada aspek pertahanan yang banyak dibuat oleh Calvin mahupun serangan yang di kemudi Bagas melalui smash kencangnya.

Pada set pertama pasangan Indonesia itu tidak mempunyai banyak cabaran dan berjaya menumpaskan pasangan Malaysia dengan mata 21-14, namun begitu gandingan Ameer dan Kam perlu diberikan pujian kerana tidak berputus asa terutama pada set kedua.Meskipun pada awal set kedua Malaysia ketinggalan beberapa mata namun kedua anak muda negara itu tenang dan teliti mengatur langkah untuk terus mengejar dan sering membuat serangan balas yang membuahkan hasil.

Namun gandingan pemain muda Indonesia bukanlah sebuah pasukan yang mudah untuk ditumpaskan kerana Bagas yang berbadan tinggi menggunakan kelebihan fizikalnya untuk menjunam banyak smash kencang yang memaksa pemain Malaysia membalas tanggung bulu tangkis sebelum dimanfaatkan sebaiknya oleh Calvin yang bersedia untuk menyambar peluang menambah mata dan perlawanan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Indonesia dengan mata 21-17.