Rejim Angola memerintah ala aparteid

Rejim Angola memerintah ala aparteid

JOHANNESBURG, 16 Ogos (AFP) – Daripada memukul wanita sehingga melepaskan anjing ke arah para pembantah, kerajaan Angola mengendalikan negara kaya dengan sumber minyak itu ala pemerintahan aparteid, menurut aktivis masyarakat, Rafael Marques de Morais.

“Sebahagian kaedah rejim Angola gunakan adalah bersamaan dengan dasar aparteid yang pernah digunakan di sini di Afrika Selatan ke atas majoriti rakyatnya,” Marques memberitahu AFP dalam satu temu ramah di Johannesburg.

“Ia sama dengan taktik lama penjajah Portugal gunakan ke atas rakyat bekas tanah jajahan mereka,” tambah aktivis lantang bersuara berusia 43 tahun tersebut, yang menjadi penceramah jemputan pada pelancaran buku baru mengenai Angola di sini.

Marques, aktivis hak asasi manusia paling terkenal di Angola dan selain berkerjaya sebagai wartawan, dikenakan hukuman awal tahun ini kerana memfitnah jeneral tentera di dalam buku mengenai keganasan berkaitan industri berlian negara tersebut.

Kumpulan hak asasi antarabangsa berkata para aktivis dan wartawan semakin menjadi sasaran oleh rejim Presiden Jose Eduardo dos Santos, yang berkuasa sejak 1976 lagi.

Lima puluh kumpulan termasuk Human Rights Watch dan Amnesty International meluis surat kepada presiden pada Mei menyatakan kemarahan mengenai dakwaan ke atas Marques, yang dijatuhi hukuman penjara enam bulan tertangguh.

Aktivis lulusan Universiti Oxford itu berkata rejim Dos Santos sudah mencecah “tahap rendah” dalam cuba untuk menekan kebebasan bersuara.