Rejim Syria lancar 15 serangan udara

Rejim Syria lancar 15 serangan udara

BEIRUT, 25 Mei (AFP) – Pesawat udara kerajaan Syria telah melancarkan sekurang-kurangnya 15 serangan udara dalam dan sekitar bandar purba Palymra hari ini, berikutan kejatuhannya kepada kumpulan Islamic State (IS), menurut kumpulan pemantau.

Balai Cerap Syria bagi Hak Asasi Kemanusiaan mengatakan sekurang-kurangnya empat orang awam telah terbunuh dalam serangan itu, yang paling tegang sejak kumpulan jihad menakluki bandar itu pada Khamis.

“Sejak pagi ini, pesawat udara kerajaan telah melancarkan sekurang-kurangnya 15 serangan udara di Palmyra dan kawasan di sekitarnya,” menurut pengarah Balai Cerap, Rami Abdel Rahman.

Menurutnya berpuluh orang juga telah cedera dalam serangan itu, dan IS dipercayai juga mengalami banyak kehilangan nyawa apabila bangunan keselamatan tentera telah diserang.

Serangan itu menyasarkan beberapa kawasan di bandar berkenaan termasuk bandar dekat dengan runtuhan terkenal Yunani-Romawi, sebuah tapak warisan dunia UNESCO, katanya.

Satu sumber ketenteraan mengesahkan operasi itu sedang dilaksanakan di dalam dan sekitar Palmyra.

“Operasi tentera, termasuk serangan udara, sedang berterusan di kawasan sekitar Al-Suknah, Palmyra, Arak, dan padang gas Al-Hail dan semua jalan-jalan yang menuju ke Palmyra,” katanya.

“Kami sedang memburu Daesh di mana saja mereka berada,” tambahnya yang menggunakan akronim Arab bagi IS.