Reka bentuk bendera baru NZ diumumkan

Reka bentuk bendera baru NZ diumumkan

WELLINGTON, 15 Dis (dpa) – Reka bentuk berwarna hitam, putih dan biru dengan gabungan paku-pakis New Zealand serta empat bintang Southern Cross disahkan hari ini sebagai pilihan rakyat bagi potensi bendera baru negara tersebut.

Pilihan bagi reka bentuk bendera itu ‘menang tipis’ apabila keputusan awal diumumkan pada malam Jumaat lepas, dan disahkan sebagai pemenang oleh Suruhanjaya Pemilih dalam keputusan rasmi yang diumumkan hari ini.

Reka bentuk itu, yang Perdana Menteri John Key sifatkan sebagai ‘pilihan nombor satu’ beliau sendiri, meraih 50.58 undian, secara tipis menewaskan versi warna merah, putih dan biru yang mendapat undian 49.42 peratus.

Kira-kira 1.54 juta warga New Zealand mengundi, hanya di bawah 49 peratus daripada mereka yang berdaftar.

Gambar dikeluarkan kerajaan Australia menunjukkan reka bentuk bendera baru New Zealand hasil ciptaan Kyle Lockwood. – Agensi
Gambar dikeluarkan kerajaan Australia menunjukkan reka bentuk bendera baru New Zealand hasil ciptaan Kyle Lockwood. – Agensi

Bagaimanapun pada Mac, warga New Zealand akan diminta memilih sama ada mereka mahu menukar kepada reka bentuk baru atau mengekalkan bendera sekarang, yang memaparkan Union Jack British dan bintang-bintang Southern Cross.

Key, yang mengetuai kempen bagi bendera baru, berkata pada hujung minggu bahawa paku-pakis perak di atas bendera baru adalah ‘lebih jauh merupakan simbol kebangsaan kita berbanding Union Jack’.

Reka bentuk Union Jack sekarang adalah legasi sejarah New Zealand sebagai bekas jajahan British.

Ramai kalangan rakyat New Zealand mengkritik tempoh proses mengundi yang lama untuk memilih bendera baru, yang menelan kos anggaran 26 juta dolar New Zealand (AS$18 juta).

ARTIKEL YANG SAMA