Rekaan komersial bantu pemuliharaan seni warisan

Rekaan komersial bantu pemuliharaan seni warisan

PERKAMPUNGAN GAORONG – Pan Xiu-ying cukup teliti mencelupkan sebuah peralatan yang diperbuat daripada tembaga kepada beberapa pilihan warna bagi mencorakkan sebuah rekaan menarik pada sehelai kain putih.

Di sebuah bengkel kerja yang terletak di sebuah kawasan pedalaman di mana ia merupakan salah sebuah wilayah berpendapatan rendah di China, Pan menggunakan teknik kemahiran tradisi yang diwarisinya sejak turun-temurun untuk menghasilkan sehelai skarf batik berwarna indigo di mana menampilkan corak yang diinspirasikan daripada etnik minoriti Shui.

Bagaimanapun seni kraf tangan yang dihasilkan itu bukan khusus untuk diberikan kepada ahli keluarga namun turut berjaya menarik minat daripada golongan pembeli-pembeli dari golongan elit di peringkat antarabangsa.

Majikan Pan, iaitu Elaine Ng yang berpangkalan di Hong Kong merupakan antara beberapa orang pereka fesyen yang mengambil inspirasi daripada bidang ekologi dan budaya dengan harapan untuk mengekalkan kemahiran warisan daripada terus terhapus berikutan daripada arus pembangunan moden.

“Sehelai skarf yang dihasilkan selama 50 jam dengan rasa penuh kasih sayang jelas berbeza daripada yang dihasilkan secara digital di kilang,” jelas Ng yang secara strategi menghasilkan skarf istimewa khusus untuk menaiktarafkan status dan kualitinya.

Pan Xiu Ying cukup teliti dalam seni pencorakan batik yang dihasilkan berdasarkan teknik yang diwarisi secara turun-temurun.
Pan Xiu Ying cukup teliti dalam seni pencorakan batik yang dihasilkan berdasarkan teknik yang diwarisi secara turun-temurun.

m14-d_02122016

Ng jelas berusaha untuk memberi nafas baru terhadap skarf lama yang dihasilkan oleh etnik minoriti dari sebuah kawasan pedalaman di wilayah Guizhou.

Banyak pengeluar kos rendah dari China mula mengambil pekerja daripada warga ASEAN seperti Vietnam di mana mereka boleh menggaji mereka pada kos yang lebih rendah berbanding warga tempatan sendiri yang cenderung untuk mengharapkan bayaran gaji yang lebih tinggi.

Justeru, pereka pakaian yang sebelum ini hanya memasarkan rekaan pakaian pada kos yang rendah mula bijak mengatur langkah untuk mempelbagaikan rekaan termasuk motif rekaan yang menggunakan kaedah percetakan 3D dan pengkomputeran awan bagi meningkatkan lagi kualiti pakaian yang dihasilkan sekali gus berpeluang untuk dijual pada harga yang tinggi.

Ng berharap projek Un/fold yang dihasilkan oleh studio beliau iaitu The Fabrick Lab akan terus berjalan dengan lancar sekali gus menjadi perintis model perniagaan yang dapat memberikan peluang pekerjaan kepada warga kampung itu tanpa perlu berhijrah ke kawasan bandaraya.

Sempena dengan kehadiran musim luruh ini, Ng telah melancarkan koleksi skarf edisi terhad yang menampilkan corak motif kayu hexagonal dan batik.

Di samping itu, Ng juga turut bekerja dengan sebuah syarikat di Shanghai yang menghasilkan perabot kayu dengan penampilan ukiran yang sangat menarik.

Sementara di bengkel pula, Pan yang berjaya menyelesaikan kerja-kerja pencorakan akan merendam kain sutera dan kapas selama tiga kali ke dalam tong yang mengandungi pewarna organik diperbuat daripada pokok indigo yang ditanam di kawasan lereng bukit.

Proses pengeringan dengan menggunakan lilin adalah merupakan langkah terakhir sebelum sehelai skarf berjaya dihasilkan dan dijual pada harga serendah AS$235 secara online atau butik-butik di Hong Kong dan Shanghai.

Antara proses tenunan kain yang dilakukan di kawasan pedalaman China.
Antara proses tenunan kain yang dilakukan di kawasan pedalaman China.
Sharon de Lyster mula menggunakan fabrik yang dihasilkan dari kawasan perkampungan tersebut bagi menghasilkan busananya bagi koleksi Narrative Made.
Sharon de Lyster mula menggunakan fabrik yang dihasilkan dari kawasan perkampungan tersebut bagi menghasilkan busananya bagi koleksi Narrative Made.

Turut kelihatan di kawasan bengkel tersebut adalah dua wanita yang berasal dari kampung tersebut sedang sibuk menenun kain di mana tangan mereka ligat mengawal pergerakan roda kayu yang diikat di badan mereka di mana ia seolah-olah seperti langkah pengayuhan basikal.

Pan, 47 menjelaskan bahawa beliau berasa sangat teruja setiap kali bekerjasama dengan Ng dan turut berasa bersyukur kerana menerima sumber pendapatan yang tinggi hasil daripada usaha seni tersebut yang menjadi sara dirinya terutama selepas suaminya meninggal dunia pada awal tahun ini.

Beliau mempelajari teknik pencorakan batik daripada neneknya dan berasa agak kecewa kerana anak perempuannya dan kebanyakan anak gadis di kampung tersebut yang kurang berminat untuk terus mewarisi tradisi tersebut.

“Kebanyakan golongan muda tidak berminat untuk meneruskan aktiviti seni warisan tradisi tersebut dan lebih cenderung untuk memilih bagi berhijrah ke Guangdong yang merupakan sebuah bandar raya berdekatan dengan Hong Kong di mana ia memiliki banyak kilang dan menggaji jutaan pekerja daripada kawasan pedalaman, ” jelas Pan.

“Namun pada hakikatnya sekiranya pekerjaan tersebut dilakukan secara bersungguh-sungguh ia juga berpotensi untuk menjadi satu sumber pendapatan yang agak lumayan dan kunci kejayaan untuk mencapai misi tersebut adalah kesabaran,” tambah Pan.

Sebagai usaha untuk terus memulihara seni tradisi tersebut, beberapa orang pereka fesyen terkemuka seperti Sharon de Lyster mula menggunakan fabrik yang dihasilkan dari kawasan perkampungan tersebut bagi menghasilkan busananya bagi koleksi Narrative Made sebagai tujuan untuk mengkomersialkannya lagi ke peringkat antarabangsa.

“Pada dasarnya, ia merupakan seni yang sangat berharga kerana diwarisi dari turun temurun dan ia wajar terus dipelihara agar tidak pupus ditelan zaman,” jelas de Lyster.

Guizhou merupakan sebuah wilayah yang terletak 2,000 kilometer daripada Beijing yang kaya dengan seni tradisi di mana 35 juta daripada penduduknya yang terdiri daripada etnik minoritinya termasuk Shui, Miao dan Dong memiliki kemahiran dalam seni mencorak batik, sulaman, ukiran perak, pertukangan kayu dan sebagainya. – AP

ARTIKEL YANG SAMA