Rekod Badrul Hisyam belum disahkan

Rekod Badrul Hisyam belum disahkan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Rekod 10.29 saat yang dicatat oleh Badrul Hisham pelari pecut Malaysia di dalam Temasya Sekolah Sukan Asia Tenggara (ASG) hujung tahun lalu tidak akan disahkan selagi belum ada laporan penuh daripada pihak Penganjuran Kejohanan ASG Brunei Darussalam seperti yang dilaporkan akhbar The Star hari ini.

Menurut Presiden MAF, Datuk Karim Ibrahim ketika memberitahu Bernama bahawa pihaknya masih menunggu laporan penuh dan maklumat terperinci keputusan termasuk alat masa elektronik, gambar penamat perlumbaan dan keputusan ujian mengikut spesifikasi yang ditetapkan Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Menurutnya keputusan sama ada masa yang dicatatkan oleh Badrul Hisham itu akan ditetapkan berdasarkan laporan penuh daripada Sekretariat ASG dengan kerjasama Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam.

Dalam kenyataan akhbar itu juga menegaskan pihak penganjur mengaku terdapat kesilapan daripada aspek penempatan alat tolok angin di sebelah bertentangan trek perlumbaan dan sepatutnya berada 50 meter dari garis penamat.

Ekoran itu menurut Presiden MAF itu, pihaknya tidak dapat mengesahkan rekod itu sebagai satu rekod kebangsaan yang baru ekoran kesilapan teknikal ini meskipun beliau mengakui Badrul Hisham seorang pelari pecut yang sememangnya pantas berdasarkan masa tidak rasmi itu.

Dalam kenyataan itu Datuk Karim menegaskan Badrul masih lagi pelari pecut terpantas namun sehingga perkara ini mencapai kesimpulannya rekod yang dicatatkan Watson Nyambek 10.30 saat pada tahun 1998 di Sukan Komanwel masih rekod rasmi kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA