Rekod Ferguson sukar ditandingi, kata Mourinho

Rekod Ferguson sukar ditandingi, kata Mourinho

LONDON, 5 Mei (AFP) – Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menolak kemungkinan menyamai rekod Sir Alex Ferguson yang berjaya memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris sebanyak 13 kali.

Bos Chelsea, Mourinho membantu Blues menjulang gelaran Inggeris Ahad lalu dengan kemenangan 1-0 di tempat sendiri menentang Crystal Palace.

Ia adalah kali ketiga Mourinho – sekarang berada dalam musim kedua bersama Chelsea – membawa gelaran Liga Perdana ke Stamford Bridge selepas kejayaan 2004/05 dan 2005/06. Jurulatih dari Portugal itu gembira dengan tempoh awal masanya bersama Blues.

Ferguson berusia 51 tahun apabila membawa United menjulang gelaran Liga Perdana tetapi Mourinho, yang selalu menikmati kejayaan gelaran domestik di Portugal, begitu juga di Itali dan Sepanyol, menolak perbincangan untuk menyamakan rekod pengurus dari Scotland yang bersara itu.

“Saya mempunyai laluan yang panjang, tetapi Sir Alex meninggalkan penanda yang mustahil bagi semua orang mencapainya. Saya tidak dapat memenangi 13 Liga Perdana,” Mourinho memberitahu BT Sport dalam satu temu bual yang ditayangkan lewat semalam.

“Saya akan memenangi 13 kejuaraan. Saya boleh. Saya sudah ada lapan. Saya rasa saya akan berjaya untuk menjulang gelaran ke-13 tetapi 13 Liga Perdana, tidak ada peluang,” tambahnya.

Dalam tambahan kepada tiga gelarannya bersama Chelsea, Mourinho menikmati dua kemenangan kejuaraan bersama Porto di Portugal, dua bersama Inter Milan di Itali dan satu bersama gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Sementara itu, kapten Chelsea, John Terry berkata gelaran Liga Perdana Inggeris pertama kelab itu dalam tempoh lima tahun akan menjadi penunjuk era baru kejayaan pasukan barat London.