Rekod kemalangan jalan raya meningkat di Sarawak

Rekod kemalangan jalan raya meningkat di Sarawak

KUCHING, 19 Nov (Bernama) – Polis Sarawak melahirkan kebimbangan berikutan kes kemalangan yang dicatatkan di negeri ini setakat 17 Nov menunjukkan peningkatan 1,033 kes atau 6.65 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata peningkatan itu menjadikan jumlah kemalangan yang dicatatkan adalah 16,573 kes berbanding 15,540 kes tahun lepas.

“Bagi tempoh tersebut kemalangan rosak mencatatkan 15,810 kes, kemalangan ringan 252 kes, kemalangan parah 168 kes dan kes kemalangan maut 343 kes.

“Saya tidak berapa gemar dan dukacita dengan statistik kemalangan ini. Saya amat mengharapkan masyarakat ambil perhatian kerana kemalangan bukan perkara mainan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kereta Peronda di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini.

Polis Sarawak menerima 52 kereta peronda yang diagihkan untuk kegunaan di IPD Kuching (18 buah), IPD Miri (13), IPD Bintulu (12), IPD Padawan (tujuh) serta dua buah untuk kegunaan Astana Negeri Sarawak.

Mengulas mengenai kereta peronda berkenaan, Muhammad Sabtu berkata masyarakat akan turut menerima manfaat melalui kekerapan rondaan yang dibuat menggunakan kenderaan tersebut termasuk kenderaan kereta peronda sedia ada.