Rekod suhu paling panas pada Julai

Rekod suhu paling panas pada Julai

MIAMI, 21 Ogos (AFP) – Bumi mencatatkan rekod baru suhu panas pada Julai, menjadikannya bulan paling panas dalam sejarah sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sejak kerja-kerja merekodkannya secara moden dimulakan pada 1980, menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat semalam.

Penemuan oleh Pentadbiran Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) itu menunjukkan trend kepayahan, ketika planet tersebut terus dicengkam pemanasan berikutan pembakaran minyak fosil, dan para saintis menjangka suhu tersebut akan menjadi semakin teruk.

“Bumi kini semakin panas. Ia terus mencatatkan pemanasan. Ini dapat dikesan dari semasa ke semasa melalui data kami,” kata Jake Crouch, saintis fizikal di Pusat Kebangsaan bagi Maklumat Alam Sekitar NOAA.

“Sekarang kita sudah pasti bahawa 2015 menjadi tahun paling panas direkodkan, kini masanya untuk kita lihat apakah impaknya? Apakah maknanya itu kepada kita di muka bumi ini?” beliau memberitahu wartawan.

Seorang lelaki dikenali sebagai Ricky Obama dengan cara tersendiri cuba mengurangkan kesan suhu panas di Pantai Brighton di Brooklyn pada 20 Ogos 2015 di bandar raya New York. – AFP
Seorang lelaki dikenali sebagai Ricky Obama dengan cara tersendiri cuba mengurangkan kesan suhu panas di Pantai Brighton di Brooklyn pada 20 Ogos 2015 di bandar raya New York. – AFP

Purata suhu bulanan di daratan dan lautan seluruh dunia adalah 16.61 Celsius, dengan bulan Julai adalah yang paling panas.

Rekod suhu panas sebelumnya bagi Julai dicatatkan pada 1998.

“Ini adalah juga suhu bulanan tertinggi sepanjang masa bagi rekod dari tahun 1880 sehingga 2015,” kata NOAA dalam laporan iklim bulanannya.

“Tujuh bulan pertama dari Januari sehingga Julai tahun ini adalah juga rekod pemanasan paling tinggi bagi sejagat,” kata NOAA.

ARTIKEL YANG SAMA