Rekod suhu rendah di Asia

Rekod suhu rendah di Asia

HONG KONG, 25 Jan – Salji, hujan beku dan angin sejuk di seluruh Asia membawa kematian, pembatalan penerbangan dan keadaan kelam-kabut pada hujung minggu ini tatkala kawasan yang menikmati iklim lebih panas bergelut dengan suhu yang amat sejuk.

Kematian berpunca daripada cuaca dilaporkan di Jepun dan Taiwan, dengan beratus penerbangan dibatalkan di seluruh rantau, berpuluh ribu orang yang bercuti terkandas di Korea Selatan, dan keadaan amat sejuk di Hong Kong menyebabkan kacau-bilau di kemuncak tertingginya.

Sementara jerempak dingin tidak seteruk cuaca yang menjejas kawasan timur Amerika Syarikat, suhu sedemikian merupakan sesuatu yang baru untuk kebanyakan penduduk rantau.

Di Bangkok, sebuah bandar yang jarang melihat thermometer menurun di bawah 20-25 darjah Celsius, suhu merosot kepada kira-kira 16 darjah lewat semalam.

Ia meninggalkan penduduk Bangkok, dengan pakaian biasa mereka pada lazimnya termasuk seluar pendek dan selipar, mencari dalam almari pakaian mereka untuk mencari jaket dan jumper.

Seorang wanita membalut tubuhnya dengan selimut di sebuah dek tontonan bersebelahan dengan Victoria Harbour di daerah Tsim Sha Tsui, Hong Kong. - AFP
Seorang wanita membalut tubuhnya dengan selimut di sebuah dek tontonan bersebelahan dengan Victoria Harbour di daerah Tsim Sha Tsui, Hong Kong. – AFP

Di Jepun, lima orang meninggal dunia dan lebih 100 orang cedera semalam, dengan salji lebat dan suhu sejuk di rantau barat dan tengah negara dan salji yang luar biasa turun di kawasan subtropika, kata pegawai dan media tempatan.

Pulau subtropika Amami melihat salji untuk kali pertama sejak 1901, kata Agensi Kaji Cuaca Jepun. Di China, 24 stesen cuaca di seluruh negara mencatat suhu amat rendah di antara Jumaat dan Ahad.

Di Eergu’Na di Mongolia, suhu pada Sabtu mencecah tahap rendah -46.8 darjah Celsius. Bandar selatan Guangzhou melihat hujan beku yang jarang berlaku, yang pertama dalam 60 tahun, di kawasan pusat bandar, umum stesen kaji cuaca wilayah semalam.

Di Hong Kong, sekolah rendah dan tadika ditutup hari ini selepas suhu merosot kepada tahap rendah 60-tahun. Satu perlumbaan ultra-maraton sejauh 100 kilometer ditinggalkan tatkala peserta yang menyeberangi kemuncak tertinggi bandar, Tai Mo Shan, tergelincir di cerun yang licin disebabkan angin sejuk. – AFP