Rekrut ABDB tamat latihan

Rekrut ABDB tamat latihan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 19 Ogos – Seramai 146 orang rekrut lelaki pengambilan ke-156 dan 59 orang rekrut wanita pengambilan ke-52 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan dan diraikan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan di Padang Kawad Institut Latihan ABDB (IL ABDB), Penanjong Garison.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menerima tabik hormat pada upacara berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Turut hadir menyaksikan upacara ialah Pemangku Pemerintah ABDB, Laksmana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad; pemerintah angkatan tentera, pemangku-pemangku pemerintah angkatan tentera, komandan-komandan, para pegawai kanan, pegawai dan anggota ABDB serta ibu bapa dan keluarga rekrut yang menamatkan latihan.

Selepas tetamu kehormat memeriksa perbarisan dan menyampaikan ucapan, majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada jurulatih-jurulatih dan rekrut yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang latihan rekrut dijalankan.

Datin Paduka Dr Hajah Norlila menyampaikan hadiah kepada Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan.
Datin Paduka Dr Hajah Norlila menyampaikan hadiah kepada Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah Rekrut Perempuan Terbaik Keseluruhan.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah Rekrut Perempuan Terbaik Keseluruhan.

Bagi Pengambilan Rekrut Lelaki ke-156, hadiah Platun Sarjan Lelaki Terbaik dimenangi oleh 14656 Sjn (U) Haji Sahepol bin Haji Yahya dan Jurulatih Lelaki Terbaik ialah 15349 Kpl Mohd Junaidi bin Abdul Latif.

Manakala itu, gelaran Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan menjadi milik 51639 Rek Mohammad Wazien Waqiuddin bin Mohd Tahir; Penembak Senjata Ringan Rekrut Terbaik, 51635 Rek Mohd Asrollyzam bin Budin; Latihan Jasmani Terbaik, 51562 Rek (U) Mohd Azwan bin Haji Tuah; dan Kemahiran Tentera Terbaik, 51510 Rek (U) Abdul Wafi bin Mohd Bahrin.

Perbarisan berjalan lalu dalam rentak perlahan dan cepat.
Perbarisan berjalan lalu dalam rentak perlahan dan cepat.

Bagi Pengambilan Rekrut Wanita ke-52 pula, kategori Platun Sarjan Wanita Terbaik dimenangi oleh 21385 Sjn Nur Atiqah binti Awang Mahani dan Jurulatih Wanita Terbaik ialah 21474 LKpl Nurul Suriyana binti Haji Serbini.

Rekrut Wanita Terbaik Keseluruhan pula ialah 21799 Rek Nur Nabilah binti Haji Kassim; Penembak Senjata M16 Rek Terbaik, 21801 Rek (U) Nur Aina Amanina binti Kamis; Latihan Jasmani Terbaik, 21793 Rek (L) Dayangku Nurrafidah binti Pengiran Mustapa; dan Kemahiran Tentera Terbaik, 21805 Rek Syahira binti Haji Tassim.

Rekrut lelaki telah menjalani latihan selama 31 minggu dan rekrut wanita selama 21 minggu.

Kejayaan mereka selepas menjalani latihan asas ketenteraan adalah titik sejarah sebagai generasi wira pertahanan ABDB dan negara dalam sama-sama memikul tanggungjawab mempertahankan keamanan negara, menjunjung kedaulatan raja, memartabatkan maruah bangsa dan memelihara kesucian agama.

ARTIKEL YANG SAMA