Rekrut ahli, Al-Shabaab guna video Trump

Rekrut ahli, Al-Shabaab guna video Trump

RIYADH, 3 Jan (Reuters) – Kumpulan militan Somalia, al-Shabaab menerbitkan filem dalam bentuk dokumentari mengenai ketidakadilan kaum di Amerika Syarikat (AS) dengan menampilkan calon presiden Republikan Donald Trump, lapor kumpulan pemantau SITE Monitoring, semalam.

Trump, jutawan hartanah dan bekas bintang realiti TV itu ditonjolkan dalam filem 51 minit kerana membuat kenyataan melarang umat Islam ke AS susulan serangan bersenjata di San Bernardino, California baru-baru ini.

Beliau ditonjolkan antara dua klip pemimpin militan Anwar al-Awlaki, yang terbunuh dalam serangan dron di Yaman pada tahun 2011, mengatakan umat Islam di AS akan berdepan pilihan sama ada berhijrah ke negara Islam atau tinggal di rumah menentang Barat.

Calon presiden Republikan Amerika Syarikat, Donald Trump.
Calon presiden Republikan Amerika Syarikat, Donald Trump.

SITE melaporkan, filem itu dikeluarkan kelmarin di laman Twitter oleh organisasi militan, Yayasan Media al-Kataib.

Cadangan Trump menghalang umat Islam memasuki AS mendapat kutukan meluas daripada kalangan ahli politik negara itu selain mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Al Shabaab yang mahu menggulingkan kerajaan Somalia disokong Barat, dikaitkan dengan kumpulan militan Al-Qaeda serta menjalankan serangan di Kenya dan Ethiopia.

ARTIKEL YANG SAMA