Rektor UNISSA hadiri Multaqa Serantau

Rektor UNISSA hadiri Multaqa Serantau

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis – Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, hari ini telah menghadiri dan seterusnya membentang kertas kerja beliau dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia bermula 16 hingga 18 Disember 2015.

Majlis Multaqa Serantau tersebut telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.Turut hadir ialah Timbalan Sheikh al-Azhar, Profesor Dr. Abbas Shouman selaku wakil Sheikh al-Azhar al-Imam al-Akbar Profesor Dr. Ahmed Muhammad al-Tayyib yang juga selaku Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Induk, Kaherah, Mesir.

Seramai enam orang tenaga akademik UNISSA lepasan Universiti al-Azhar juga turut menyertai Multaqa Serantau tersebut atas jemputan Rabitah Alumni al-Azhar Malaysia.

Multaqa yang bertemakan ‘Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi’ memfokuskan perbincangan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan umat Islam sebagai salah satu inisiatif Rabithah Alumni al-Azhar Malaysia ke arah menyatupadukan umat Islam yang mempunyai perbezaan pandangan demi kebaikan dan maslahah terbesar ummah yang perlu diutamakan.

Dr. Haji Norarfan tatkala membentangkan kertas kerja dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di Kuala Lumpur, Malaysia.
Dr. Haji Norarfan tatkala membentangkan kertas kerja dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di Kuala Lumpur, Malaysia.

Dalam kertas kerja pembentangan Rektor UNISSA yang bertajuk ‘Perpaduan Ummah Dalam Konteks Negara Brunei Darussalam’, beliau menjelaskan bahawa kemakmuran dan keharmonian beragama, bermasyarakat dan bernegara yang dinikmati oleh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sejak turun-temurun adalah berkat perpaduan dan kesatuan yang kukuh.Perpaduan tersebut juga tidak akan tercapai melainkan dengan kesungguhan dan iltizam yang tinggi serta percaturan siasah yang bijaksana.

Menurut beliau, dalam konteks Negara Brunei Darussalam, perpaduan itu telah dibentuk dan dipacu hasil kebijaksanaan kepimpinan dan sistem pemerintahan yang adil lagi saksama serta pembangunan masyarakat dan negara yang didasarkan kepada agama Islam yang suci.

Multaqa yang dihadiri para ilmuan rantau ini dan tokoh-tokoh dari Universiti al-Azhar Mesir juga turut mengetengahkan persoalan permasalahan gejala ekstremisme yang amat jelas menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.