Rektor UNISSA terima kunjungan hormat

Rektor UNISSA terima kunjungan hormat

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turki ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Fikret Oguz Ates, pagi tadi, telah membuat kunjungan hormat kepada Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Kunjungan berkenaan bertujuan bagi meninjau peluang-peluang kolaborasi dan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan khususnya dalam bidang pengajian Islam.

Tuan Yang Terutama dipetik sebagai berkata, Turki kini mempunyai 200 buah universiti, yang mana kesemuanya menawarkan program Pengajian Islam, manakala itu, tiga buah universiti yang tersohor khusus dalam bidang Pengajian Islam adalah Universiti Marmara, Universiti Istanbul dan Universiti Ankara.

Beliau turut memberitahu bahawa, kerajaan Turki ketika ini ada menawarkan biasiswa kepada pelajar di Negara Brunei Darussalam untuk melanjutkan pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi di sana.

Menurutnya, pembiayaan yang disediakan termasuklah tiket penerbangan, tempat tinggal dan elaun sara hidup. Tawaran biasiswa ini tambah menarik dengan peluang mengikuti kursus bahasa sama ada Bahasa Arab atau Bahasa Turki dengan percuma dan dalam aspek ini UNISSA dilihat lebih relevan memandangkan Pengajian Islam merupakan niche universiti itu.

TYT Fikret Oguz Ates bergambar bersama Dr. Haji Norarfan.
TYT Fikret Oguz Ates bergambar bersama Dr. Haji Norarfan.
Dr. Haji Norarfan ketika menerima kunjungan hormat daripada Ahmed Ali Sirohey.
Dr. Haji Norarfan ketika menerima kunjungan hormat daripada Ahmed Ali Sirohey.

Sementara itu, mulai tahun 2015, tambah Tuan Yang Terutama, tiga buah universiti yang menonjol dalam arena Pengajian Islam yang disebutkan itu telah memulakan program pengajian dengan bahasa pengantar dalam Bahasa Arab, di mana sebelumnya mereka menggunakan Bahasa Turki dan Bahasa Inggeris sahaja.

Di samping itu, biasiswa yang ditawarkan pihak kerajaan Turki tidak hanya terhad bagi para pelajar bahkan terbuka bagi tenaga akademik melalui biasiswa felo yang ditawarkan kerajaan Turki bagi tujuan penyelidikan.

Menurut kenyataan UNISSA, perbincangan antara kedua-dua belah pihak dalam pertemuan itu turut menyentuh mengenai peluang-peluang melaksanakan pertukaran pelajar dan staf UNISSA sebagai tapak untuk meningkatkan kebolehan dan kemahiran melalui pengalaman pembelajaran dan pengajaran di institusi berprestij luar negara.

Pihak kedutaan Turki juga bersedia membantu menjadi penghubung dalam menjalinkan sebarang kolaborasi dengan mana-mana institusi di negara dua benua yang terkenal dengan kekayaan warisan keislamannya ini.

Kunjungan pertama Kedutaan Turki ke UNISSA ini disertai sama oleh Sekretari Pertama Kedutaan Turki di Negara Brunei Darussalam, Burcu Erdem.

Sementara itu, dua hari sebelumnya UNISSA juga telah menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Ahmed Ali Sirohey,

Dalam kunjungan berkenaan, kedua-dua belah pihak berbincang untuk menjalin hubungan dalam Pengajian Islam khususnya dalam Perundangan Islam. Pertemuan tersebut juga memberikan ruang bagi kedua belah pihak membincangkan beberapa isu semasa khususnya berkait dengan perkembangan Islam di rantau Asia.

Pihak Suruhanjaya Pakistan dengan berbesar hati turut menyatakan kesediaan mereka untuk membantu menjalinkan berbagai-bagai kerjasama dengan mana-mana institusi di Republik Islam Pakistan yang difikirkan bersesuaian dengan program yang ada di UNISSA.

Kedua-dua kunjungan hormat ini dihadiri sama oleh timbalan rektor UNISSA dan pegawai-pegawai utama lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA