Rel berkelajuan tinggi KL-S’pura bakal tingkat hubungan, rangkaian perniagaan

Rel berkelajuan tinggi KL-S’pura bakal tingkat hubungan, rangkaian perniagaan

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Cadangan projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat dan juga rangkaian perniagaan antara kedua-dua negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata Malaysia dan Singapura telah memutuskan untuk mengambil langkah seterusnya dengan menandatangani Memorandum Persefahaman bagi projek itu di Putrajaya esok.

Acara itu akan diadakan bersempena dengan lawatan kerja sehari Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ke Malaysia esok.

“Sebaik sahaja siap, rakyat Malaysia boleh menikmati ‘nasi lemak’ di Kuala Lumpur, dan kemudiannya menjamu selera dengan ‘ketam cili’ di Singapura dan kembali semula untuk makan malam dengan ‘rendang’ bersama-sama keluarga,” kata Najib dalam catatan terbaru di blog beliau www.najibrazak.com.

Beliau berkata, kemudahan hubungan secara keseluruhan “dan secara spesifiknya pengangkutan awam amat dekat di hati saya”.

Cadangan laluan sepanjang 350 km itu yang akan bermula di Bandar Malaysia, tujuh kilometer dari pusat bandaraya Kuala Lumpur dan berakhir di Jurong Timur, Singapura, dijangka dapat memendekkan masa perjalanan antara KL dan Singapura kepada kira-kira 90 minit daripada kira-kira lima jam mengikut jalan raya.

Perkhidmatan tren yang dicadangkan itu dijangka mempunyai lima stesen transit iaitu Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri. Mengenai hubungan dua hala, Najib berkata hubungan kian bertambah kukuh selepas beliau menjadi perdana menteri.

“Saya sentiasa memperjuangkan semangat demi manfaat bersama. Bersama-sama, kami bergerak di landasan yang membawa manfaat baik dalam kerjasama perdagangan mahupun hubungan rakyat,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA