Remaja Asia menyerlah di Terbuka AS

Remaja Asia menyerlah di Terbuka AS

NEW YORK, 2 Sept (AFP) – Dua pemain remaja Asia melangkah ke pusingan kedua tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS), sekali gus memberi amaran munculnya generasi baru dalam kelompok bintang tenis di peringkat dunia.

Pemain kelayakan dari Jepun, Yoshihiro Nishioka mengejutkan pemain Perancis, Paul-Henri Mathieu 6-4, 2-6, 6-7 (7/9), 6-1, 6-2 dalam pertarungan tiga jam 22 minit di atas gelanggang panas terik, manakala pemain Korea Selatan, Chung Hyeon mengetepikan pemain Australia, James Duckworth 6-3, 6-1, 6-2 dalam masa 96 minit.

Chung, yang berkedudukan ranking 69 manakala pemain kidal, Nishioka dalam ranking 128 dunia, dengan kedua-duanya berusia 19 tahun – adalah antara yang kekal dalam 10 pemain remaja yang layak beraksi kali ini. Pete Sampras yang sebelum ini digilap dari usia remaja, menang gelaran pertama daripada 14 Grand Slam pada usia 19 tahun.

“Kami tidak mempunyai kelompok generasi muda sebegini untuk sekian lama. Kini mereka berada di sini, ia baik untuk kemajuan sukan tenis,” kata bintang Sepanyol, Rafael Nadal, yang menang gelaran pertama daripada 14 gelaran Grand Slam miliknya setakat ini ketika berusia 19 tahun pada 2005 di Terbuka Perancis.