Remaja bakar masjid London, ditangkap

Remaja bakar masjid London, ditangkap

LONDON, 27 Sept (AFP) – Dua remaja telah ditangkap hari ini berhubung satu kebakaran di sebuah masjid London yang didakwa insiden terbesar yang berlaku di barat Eropah.

Kira-kira 10 buah jentera bomba dihantar untuk memadam kebakaran yang meletus pada Sabtu di Masjid Baitul Futuh di Morden, barat daya London. Asap boleh kelihatan di seluruh bandar tersebut.

Dua remaja lelaki berusia 16 dan 14 tahun itu telah ditangkap kerana disyaki membakar dan ditahan di balai polis selatan London, menurut ibu pejabat polis Scotland Yard.

Seorang lelaki dikatakan berusia lewat 40-an, dikejarkan ke hospital selepas terhidu asap, kata Perkhidmatan Ambulans London.

Kebakaran itu menjejaskan hampir separuh tingkat bawah, sebahagian tingkat pertama dan bahagian bumbung masjid.

Anggota Bomba London mengatakan kebakaran itu menjejaskan bangunan pentadbiran dan ‘nasib baik masjid itu tidak terjejas.’

Masjid itu dibina bagi komuniti Islam Ahmadiyya untuk menyediakan orang ramai sebuah tempat mesyuarat dan bagi mengadakan majlis-majlis keagamaan sosial.

Kompleks seluas 5.2 ekar itu siap dibina pada 2003 dan boleh memuatkan kira-kira 10,500 jemaah untuk bersembahyang, menurut laman web masjid berkenaan.

Kubahnya setinggi 75 kaki di atas paras tanah.

ARTIKEL YANG SAMA