Remaja bakar rumah setelah pergerakan disekat

Remaja bakar rumah setelah pergerakan disekat

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Seorang remaja perempuan memulakan kebakaran di sebuah rumah di Taman Desa Setapak, Wangsa Maju di sini hari ini kerana dikatakan tidak puas hati pergerakannya disekat.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata bapa remaja itu menerima panggilan berkaitan insiden itu daripada pihak bomba pada kira-kira 12 tengah hari tadi di tempat kerjanya.

“Susulan itu, beliau bergegas pulang ke rumah dan mendapati kebakaran itu menyebabkan kerosakan pada tingkap sebelah pintu masuk, langsir dan televisyen, katanya kepada pemberita.

Mohamad Roy Suhaimi berkata hasil soal siasat mendapati remaja berusia 16 tahun itu mengaku membakar langsir dan televisyen menggunakan kain yang dibakar menggunakan dapur gas. Turut terbakar ialah sebuah komputer riba.

Jumlah kerugian dianggarkan RM4,000, katanya. – Bernama