Remaja bawah umur perlu kebenaran menteri besar atau ketua menteri

Remaja bawah umur perlu kebenaran menteri besar atau ketua menteri

ALOR SETAR, 12 April (Bernama) – Remaja bawah umur yang mahu berkahwin perlu mendapatkan kebenaran Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri masing-masing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata perkara ini akan dimasukkan dalam pindaan Akta Kanak-kanak 2001 selepas diluluskan di Parlimen baru-baru ini bagi mengelak perkahwinan pada usia muda dalam kalangan remaja perempuan.

Katanya rata-rata perkahwinan pada usia muda disebabkan mereka terlanjur yang akhirnya mereka dibenarkan oleh keluarga untuk berkahwin dengan pasangannya.

Beliau berkata ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memberi pendidikan agar remaja perempuan tersebut diberi masa dan ruang dengan aktiviti lebih sihat agar tidak terjerumus dalam kancah perkahwinan pada usia muda.

“Kita bimbang bila mereka kahwin pada usia muda, mereka tidak dapat kawal emosi yang menyebabkan rumah tangga mereka bergolak sekali gus menyebabkan masalah sosial dalam masyarakat,” katanya selepas merasmikan Seminar Mengenai Hak dan Isu Wanita serta Kanak-kanak di sini, hari ini.