Remaja diperkosa, ditembak, dicampak dalam perigi

Remaja diperkosa, ditembak, dicampak dalam perigi

NEW DELHI, 10 Jan (AFP) – Seorang remaja India yang telah ditahan selama dua minggu oleh sekumpulan geng lelaki, mengatakan dalam temu bual yang disiarkan hari ini, bahawa dia telah diperkosa berulang kali sebelum ditembak dua kali dan dicampak ke dalam telaga di pinggir New Delhi.

Mangsa, yang dilaporkan berusia 14 tahun, dipercayai diculik pada 22 November ketika berjalan di sebuah pasar di barat Delhi, dalam kes terbaru keganasan seksual di bandar India.

Bercakap mengenai pengalaman getirnya dalam rangkaian berita NDTV, remaja itu mengatakan dia telah ditahan dalam ‘bilik gelap’ tempat tiga penyerang bergilir-gilir memperkosanya dalam tempoh dua minggu.

“Selepas dua minggu didera berkali-kali, mereka mengatakan pada satu malam itu akan melepaskannya pergi. Mereka memasukkannya ke dalam kereta dan memandu ke kedai membeli alkohol dan kemudian meletakkan kereta berhampiran perigi,” kata remaja itu dalam temu bual.

“Mereka memberitahu, saya boleh pergi, namun ketika melangkah beberapa tapak, mereka melepaskan tembakan. Peluru pertama mengenai tulang saya. Saya tidak rasa apa-apa, badan saya hanya terasa kebas. Namun selepas tembakan kedua, saya jatuh pengsan.”

“Apabila saya sedar…saya dapat melihat peluru di dada saya, jadi saya hanya mencabutnya keluar,” ujarnya, menunjukkan luka di dadanya.

Para penduduk berhampiran menariknya keluar pada 6 Disember selepas mendengar jeritannya dalam perigi, sebelum dia dikejarkan ke hospital.

Beberapa lelaki telah ditangkap berhubung serangan itu, menurut laporan media tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA