Remaja disangka mati

Remaja disangka mati

LAHORE, 8 Nov (Agensi) – Seorang remaja yang disangka mati dalam runtuhan kilang awal minggu lalu di Lahore ditemui hidup selepas terperangkap selama 50 jam.

Remaja dikenali sebagai Shahid itu sebelum ini tersenarai antara mangsa yang hilang dan kini dalam keadaan stabil, kata pegawai kerajaan Mohammad Usman.

Sepupunya Kalim Ullah berkata, keluarganya menerima jenazah yang tidak dapat dikenal pasti kerana mengalami kecederaan teruk sehari sebelumnya sebelum mengadakan majlis pengebumian.

“Kami menyangka ia Shahid kerana memang seperti dia. Kami sekeluarga masih berkabung, namun tiba-tiba wajahnya muncul di televisyen,” katanya.

Bapa saudara Shahid, Allah Ditta turut menyifatkan kejadian itu satu keajaiban dan mereka sekeluarga kini bergegas ke Lahore untuk menemui Shahid.

Mohammad berkata, Shahid merangkak keluar dari runtuhan bangunan tanpa sebarang bantuan dan dalam keadaan segar serta mampu bercakap.

“Dia mengalami sakit kaki, tetapi tiada kecederaan lain,” katanya.

Shahid ditemui hanya beberapa jam selepas pihak berkuasa mengaku harapan semakin tipis untuk menemui mangsa terselamat.

Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Punjab, Jam Sajjad Hussain berkata, 400 anggota mencari dan menyelamat berjaya menyelamatkan 103 pekerja sejak kejadian Rabu lalu itu.

Punca kejadian masih belum dikenal pasti dan berlaku hanya seminggu selepas gempa bumi dengan magnitud 7.5 melanda Pakistan yang mengakibatkan 274 maut serta 75,000 rumah musnah.

Sekurang-kurangnya 26 maut dan 103 cedera dalam kejadian itu.

ARTIKEL YANG SAMA