Remaja diselamatkan selepas lima hari gempa

Remaja diselamatkan selepas lima hari gempa

KATHMANDU, 30 April – Para anggota penyelamat menarik keluar remaja lelaki berusia 15 tahun yang masih hidup, dari runtuhan akibat gempa bumi besar Nepal hari ini, lima hari selepas bencana itu berlaku yang kini diketahui telah mengorbankan lebih 5,500 orang.

Penyelamatan remaja itu dari kemusnahan bangunan yang runtuh di Kathmandu mencetuskan suasana gembira luar biasa ketika penyelaras bantuan memberi amaran bahawa mungkin mengambil masa lima hari untuk sampai ke beberapa kawasan yang teruk terjejas, yang hanya boleh dimasuki dengan berjalan kaki.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan rayuan bagi bantuan AS$415 juta dari masyarakat antarabangsa sementara Presiden Barack Obama berikrar Amerika Syarikat akan melakukan segala-galanya dalam kuasanya untuk membantu negara yang dilanda kemusnahan itu.

Pihak berkuasa Nepal juga mengumumkan bahawa pendakian Gunung Everest akan dimulakan  minggu depan di sebalik kematian 18 orang di gunung tertinggi di dunia itu dalam kejadian salji runtuh yang dicetuskan oleh gempa bumi.

Gambar penyiar Grainy menunjukkan ramai anggota penyelamat cuba mengeluarkan remaja itu dari runtuhan rumah persinggahan di daerah Gongabu di bandar yang musnah sebelum polis mengesahkan remaja itu telah berjaya ditarik keluar.

Pasukan penyelamat mengusung Pemba Lama untuk dikejarkan ke hospital selepas diberikan rawatan awal di lokasi penemuannya. – AFP
Pasukan penyelamat mengusung Pemba Lama untuk dikejarkan ke hospital selepas diberikan rawatan awal di lokasi penemuannya. – AFP

“Remaja berusia 15 tahun telah diselamatkan dari runtuhan sebuah persinggahan, Hilton Guesthouse,” kata jurucakap polis Kamal Singh Bam.  “Kami sedang menantikan lebih banyak butiran, tambahnya, dengan mengenal pasti identiti budak itu sebagai Pemba Lama.

Remaja yang dipenuhi lumpur itu dipasangkan dengan pendakap leher dan diberikan intravena di tempat kejadian sebelum diletakkan di usungan dan dimasukkan ke dalam kenderaan ambulans yang kemudian bergegas ke hospital.

Berita itu mungkin menggiatkan semula usaha pasukan penyelamat yang terpaksa mengharungi gegaran kerap dan hujan yang menyukarkan anjing penghidu untuk mengetahui jika ada sesiapa lagi yang masih hidup di bawah timbunan konkrit.

Suasana di Kathmandu semakin suram sejak gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pada Sabtu lalu melanda, yang mengakibatkan banyak kematian di Nepal dalam tempoh 80 tahun. Selepas warga Nepal yang dalam keadaan terdesak bertempur dengan polis rusuhan dan merampas bekalan air botol semalam, kerajaan mengakui ia telah diatasi oleh skala krisis ini.

Dalam panggilan telefon kepada Perdana Menteri Nepal Sushil Koirala, Obama berkata AS akan melakukan “yang termampu” untuk membantu usaha bantuan, menurut Rumah Putih.Dalam melancarkan rayuan bagi bantuan AS$415 juta, PBB berkata ia akan melaksanakan usaha berterusan untuk membantu orang ramai di salah sebuah negara termiskin di Asia itu.

“Ini adalah urusan yang panjang.  Ia akan mengambil masa tiga bulan untuk menangani keperluan banuan, kemudian akan beralih kepada proses pemulihan dan proses pembinaan semula,” kata penyelaras menetap PBB bagi Nepal, Jamie McGoldrick.

PBB berkata wujud ‘cabaran logistik yang ketara’ dalam memberi respons kepada krisis besar seumpama ini di kawasan pergunungan yang sukar didatangi.

Ramai masyarakat yang teruk  terjejas oleh gempa bumi Sabtu lalu berada di kawasan terpencil Himalaya yang belum dapat lagi didatangi oleh pasukan penyelamat.

Dalam laporan situasi terkininya, PBB berkata usaha mencari dan menyelamat masih terhad di berhampiran Lembah Kathmandu.

“Beberapa buah kampung hanya boleh didatangi dengan berjalan kaki, dan untuk sampai ke beberapa kawasan mengambil masa empat hingga ke lima hari. Perlu untuk mengutamakan pengembalian infrastruktur perhubungan, pengurusan nahas dan bantuan biasa di kawasan-kawasan terpencil,” menurutnya.

Kira-kira 70,000 buah rumah musnah dan 530,000 buah lagi rosak di seluruh 39 dari 75 buah daerah di Nepal, menurut PBB. Angka kematian rasmi terkini dari Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan Nepal meletakkan bilangan kematian pada 5,489 dan lebih 10,000 diketahui tercedera. Impak itu juga mengakibatkan kematian dan kemusnahan di negara-negara jiran seperti India dan China yang mana lebih 100 orang terbunuh. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA