Remaja ditemui mati di belakang bangunan

Remaja ditemui mati di belakang bangunan

KUCHING, 16 Okt (Bernama) – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemui mati di belakang sebuah bangunan di Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan kira-kira 7.15 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar berkata selepas menerima maklumat daripada orang awam, sepasukan polis ke tempat kejadian dan mendapati remaja berkenaan terbaring di atas lantai simen di belakang bangunan itu.

Beliau berkata beberapa bahagian badan remaja tersebut juga terdapat kesan kecederaan.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan dua remaja lelaki berusia 15 dan 18 tahun di Kota Samarahan,” katanya sambil menambah bahawa kedua-dua suspek mengaku bertengkar dengan mangsa berikutan perselisihan faham kecil.