Remaja kedua tahanan Boko Haram diselamatkan

Remaja kedua tahanan Boko Haram diselamatkan

ABUJA, 20 Mei (AFP) – Murid perempuan Chibok kedua telah diselamatkan, menurut tentera Nigeria semalam, selepas Presiden Muhammadu Buhari menemui murid pertama yang telah ditemui dan menyuarakan harapan baru bagi penemuan semula lebih 200 lagi orang murid yang masih ditahan.

Jurucakap tentera Kolonel Sani Usman berkata murid itu telah ditemui oleh pasukan tentera dan anggota sukarela awam kira-kira pukul 11:00 pagi semalam di kawasan Damboa, negeri Borno, timur laut Nigeria, ketika operasi ketenteraan.

“Namanya ialah Miss Serah Luka,” tambahnya dalam satu kenyataan, dengan mengatakan dia dipercayai anak perempuan paderi Kristian dan berasal dari Madagali, di negeri berhampiran, Adamawa.

Sekeping gambar yang dikeluarkan oleh pihak tentera menunjukkan seorang perempuan muda yang mengenakan hijab biru gelap yang panjang yang lumrah dipakai di rantau itu dan pernah dilihat dalam video sebelumnya yang memaparkan murid perempuan yang diculik, dari kumpulan militan pejuang Islam Boko Haram.

Ketua Boko Haram Abubakar Shekau yang tidak jelas identitinya, sebelum ini mengaku semua perempuan itu telah masuk Islam.

Presiden Nigeria Muhammadu Buhari (tiga kanan) berjumpa dengan Amina Ali (kiri) gadis Chibok pertama yang diselamatkan. – AP
Presiden Nigeria Muhammadu Buhari (tiga kanan) berjumpa dengan Amina Ali (kiri) gadis Chibok pertama yang diselamatkan. – AP

Murid pertama ditemui ialah Amina Allil, yang terbang bersama ibunya untuk menemui presiden di kediaman rasmi beliau, Aso Rock di ibu negara, Abuja.

Buhari berkata beliau ‘gembira’ dengan pembebasannya dan kerajaan berusaha semampunya untuk menyelamatkan perempuan Chibok yang lain, yang diculik dari bandar terpencil di timur laut Nigeria pada 14 April 2014.

“Pembebasan Amira memberikan harapan baru dan menawarkan peluang unik bagi maklumat penting,” ujarnya.

Seramai 276 perempuan diculik dari Sekolah Menengah Perempuan Kerajaan. Lima puluh tujuh orang berjaya melepaskan diri dalam tempoh beberapa jam selepasnya.

Penculikan itu mengundang kemarahan sejagat dan tumpuan seluruh dunia bertumpu pada konflik itu tetapi sehingga Amira dan murid terbaru ditemui, terdapat sedikit indikasi tentang kemungkinan pembebasan mereka.