Remaja lelaki ditangkap selepas kelar leher datuk bandar

BRUSSELS, 12 Sept – Polis Belgium menangkap seorang suspek selepas datuk bandar ditemui mati dengan lehernya dikelar di sebuah tanah perkuburan, kata pihak berkuasa hari ini ketika mereka menyiasat satu kes pembunuhan yang mengejutkan negara itu.

Alfred Gadenne, 71, ditemui mati kelmarin di kawasan perkuburan tempat dia membuka dan mengunci pagar berkenaan setiap hari, berhampiran rumahnya di Mouscron, berhampiran sempadan Perancis.

Media tempatan berkata suspek remaja lelaki berusia 18 tahun menyerang datuk bandar untuk menuntut bela ke atas ayahnya, bekas pekerja di bandar itu yang dipecat dan membunuh diri pada 2015.

Kes itu telah mencetuskan perasaan emosi hari ini di Belgium dengan Perdana Menteri Charles Michel dalam Twitter berkata dia dimaklumkan mengenai kematian Gadenne yang ‘penuh mengejutkan’ itu dan menyifatkan beliau, seorang yang amat disenangi semua orang. – AFP