Remaja lelaki terlibat konspirasi bom dipenjara 3 tahun

NEW DELHI, 12 Okt – Mahkamah Juvana di India telah memerintahkan seorang remaja lelaki dipenjara tiga tahun di sebuah pusat reman selepas mendapati dia bersalah atas pertuduhan terlibat dalam konspirasi menyebabkan dua letupan bom bersiri di timur negeri Bihar empat tahun lalu, lapor agensi berita China Xinhua.

Kedua-dua siri letupan itu berlaku di ibu negeri Bihar iaitu Patna, dan sebuah kuil di pekan suci Bodhgaya dalam tempoh selang enam bulan.

Letupan di Patna berlaku semasa satu perhimpunan politik pada Oktober 2013, yang menyasarkan calon perdana menteri Parti Bharatiya Janata iaitu Narendra Modi, telah meragut enam nyawa dan mencederakan lebih 90 orang.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dalam 10 letupan kecil bom yang berlaku di Bodhgaya.

“Bagi kedua-dua siri letupan bom itu, mahkamah juvana telah mensabitkan remaja berkenaan dengan pertuduhan melakukan konspirasi dan dia kini perlu menjalani tempoh tahanan selama tiga tahun di sebuah pusat reman,” kata se-orang pegawai kanan pada Khamis.

Menurut undang-undang India, pesalah juvana (mereka yang berusia di bawah 18 tahun) hanya boleh direman di sebuah pusat pemulihan paling maksimum tiga tahun, meskipun didapati bersalah dalam jenayah berat seperti bunuh, rogol dan letupan bom.

Kedua-dua siri letupan bom itu telah disiasat oleh agensi antikeganasan India iaitu Agensi Penyiasatan Nasional (NIA).

Sejumlah 11 individu diberkas dalam insiden letupan di Patna manakala enam lagi ditahan selepas dipercayai terlibat dalam letupan di Bodhgaya.

Perbicaraan tertuduh lain dalam dua kes sedang berjalan dan ada di antara mereka yang berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan. – Bernama