Remaja lemas, demi selamatkan adik

Remaja lemas, demi selamatkan adik

TAWAU, 6 Nov (Bernama) – Seorang remaja perempuan mati lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya yang terjatuh di sebuah kolam di Kampung Hidayat, Jalan Apas di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Mohd Razali Awang Ahmad berkata mangsa Norimah Arman, 17, telah berjaya menyelamatkan adik lelakinya yang berusia lingkungan lima tahun, namun tergelincir semula ke dalam kolam berkenaan.

“Kami menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 7.50 pagi dan menghantar sebuah jentera bersama enam anggota ke lokasi kejadian. Mangsa dijumpai pukul 8.27 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa dan adiknya dikatakan sedang mencuci kain di tebing kolam berkenaan dan mangsa dipercayai tidak pandai berenang.

Menurut Mohd Razali pihaknya telah menamatkan operasi pada pukul 9.22 pagi dan mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.