Remaja maut ditikam ketika bantu rakan

Remaja maut ditikam ketika bantu rakan

TAWAU, 15 Feb – Seorang remaja lelaki warga asing maut selepas ditikam dengan pisau ketika cuba membantu rakannya yang terlibat dalam pergaduhan dengan seorang lelaki di sebuah rumah pekerja di Gunung Rara, Ladang Imbak, Jalan Kalabakan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mahmud Kurniawan, 16, dengan dua kesan tikaman iaitu di bahagian leher kiri dan perut kiri.

Katanya rakan mangsa, yang dikenali sebagai Isra Kurniawan, 15, juga cedera dalam pergaduhan itu dan sedang menerima rawatan di Hospital Besar Tawau.

“Suspek juga seorang warga asing berumur 20 tahun,” kata Fadil dalam kenyataan di sini hari ini. Katanya polis sedang giat memburu suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu. – Bernama